Thursday, May 19, 2011

Sayyid Qutb-Surah Al-Quran

Surah Pembukaan
Surah (1) - Makkiyah - 7 ayat
( بِسْمِ الّلهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ( 1
1. Dengan nama Allah yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih.
( اْلحَمْدُ لّلهِ رَبِّ الْعَاَلمِينَ ( 2
2. Segala puji-pujian terpulang kepada Allah Tuhan yang memelihara
semesta 'alam.
( الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ ( 3
3. Yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih.
( مَلِكِ يَوْمِ الدِّينِ ( 4
4. Tuhan yang menguasai hari pembalasan.
( إِيَّاكَ نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ ( 5
5. Hanya Engkau sahaja (Tuhan) yang kami sembah dan hanya kepada Mu
sahaja kami pohon pertolongan.
( اهدِنَا الصِّرَا َ ط اُلمستَقِيمَ ( 6
6. Tunjukkan kami jalan yang lurus.
( صِرَا َ ط الَّذِينَ َأنعَمتَ عََليهِمْ َ غيرِ اَلمغضُوبِ عََليهِمْ وَ َ لا الضَّالِّينَ ( 7
7. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan ni'mat ke atas
mereka bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai dan bukan pula
jalan orang-orang yang sesat.
Ayat-ayat Pilihan ____________________________________________________________________
Tafsir Fi Zilalil Quran 38
Setiap orang Islam membaca surah yang pendek dan mengandungi tujuh
ayat ini sekurang-kurangnya tujuh belas kali sehari semalam dan lebih sekali
ganda lagi apabila ia menunaikan solat sunat dan sebanyak-banyaknya tanpa
had apabila dia ingin mengadap Allah dengan solat-solat tambahan selain
dari solat-solat fardhu dan solat-solat sunat.
Setiap solat tidak sah tanpa membaca surah ini. Ini berdasarkan keterangan
hadith al-Bukhari dan Muslim dari Rasulullah S.A.W dari hadith 'Ubadat bin
as-Samit: Sabda Rasulullah SAW:
لاصلاةلمن لايقرأبفاتحةالكتاب
"Tiada solat kepada mereka yang tidak membaca Surah al-Fatihah."
Di dalam surah ini terkandung dasar-dasar 'aqidah dan dasar-dasar
kefahaman Islam, juga dasar-dasar perasaan (terhadap Allah) dan tawajjuh
(berdoa) yang membayangkan sebahagian hikmat mengapa Surah al-Fatihah
dipilih untuk diulang-ulangkan bacaannya dalam setiap raka'at solat dan
hikmat batalnya setiap solat yang tidak dibacakan Surah al-Fatihah.
(Pentafsiran ayat 1)
Surah ini dimulakan dengan:
( بِسْمِ الّلهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ( 1
1. Dengan nama Allah yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih.
Walaupun ada khilaf mengenai 'Bismillahirrahmanirrahim' apakah ia
merupakan satu ayat dalam setiap surah atau ia merupakan satu ayat al-
Qur'an yang dimulakan dengannya ketika membaca setiap surah, namun
menurut pendapat yang arjah (terkuat) ia adalah satu ayat di dalam Surah al-
Fatihah dan dengannya ia dikirakan tujuh ayat.
Dan di sana ada suatu pendapat yang mengatakan bahawa yang
dimaksudkan dengan firman Allah 'Azzawajalla:
( وََلَقدْ آتَيْنَاكَ سَبْعًا مِّنَ الْمََثانِي وَالُْقرْآ َ ن الْعَظِيمَ ( 87
87. “Sesungguhnya Kami telah kurniakan kepadamu tujuh ayat dari ayatayat
yang diulang-ulangkan bacaannya dan al-Qur'anul 'Azim"
(Al-Hijr)
ialah Surah al-Fatihah yang disifatkan sebagai surah yang mempunyai tujuh
ayat dan sebagai "al-Mathani" kerana ia diulang-ulangkan bacaannya di
dalam solat.
Ayat-ayat Pilihan ____________________________________________________________________
Tafsir Fi Zilalil Quran 39
Memulakan sesuatu dengan "nama Allah" itu merupakan satu adab
cara yang diwahyukan oleh Allah kepada RasulNya dalam ayat pertama
yang diturunkan kepada beliau dengan ittifaq para ulama' iaitu:
( اْقرَْأ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خََلقَ ( 1
1. "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan"
(Al-'Alaq)
Adab cara ini amat sesuai dengan dasar kefahaman Islam yang agung,
yang menganggapkan Allah bersifat Maha Awal dan Maha Akhir, Maha
Zahir dan Maha Batin. Allah S.W.T. adalah Zat yang maujud yang sebenar
dan seluruh maujud yang lain mendapat kewujudan mereka dari kewujudan
Allah dan segala permulaan yang lain adalah berpangkal dari kewujudan
Allah, kerana itu amatlah wajar segala permulaan, segala harakat atau
tindakan dan segala tujuan itu dimulakan dengan nama-Nya.
Allah SWT sifatkan diri-Nya di permulaan dengan sifat-sifat ar-
Rahman "Maha Penyayang" dan ar-Rahim "Maha Pengasih" iaitu dua sifat
yang mencakup segala pengertian, kasih sayang dan kasihan belas dan segala
keadaannya. Hanya pada Allah SWT sahaja terkumpul dua sifat ini. Begitu
juga hanya Allah sahaja yang wajar disifatkan dengan ar-Rahman "Maha
Penyayang". Mana-mana hamba Allah boleh disifatkan dengan sifat ar-
Rahim, tetapi tidak boleh disifatkan dengan sifat ar-Rahman dari segi
kepercayaan dan lebih tidak wajar lagi dikembarkan kedua-dua sifat itu
padanya.
Walaupun terdapat perselisihan pendapat tentang pengertian dua sifat
ini, iaitu manakah di antara kedua-duanya yang mempunyai pengertian
kasih sayang dan kasihan belas yang lebih luas, namun perselisihan itu
bukanlah dari perbahasan yang kita hendak bicarakan dengan terperinci
dalam Tafsir Fi Zilal ini, malah kita hanya membuat kesimpulan sahaja dari
perbahasan itu bahawa kedua-dua sifat ar-Rahman dan ar-Rahim adalah
meliputi segala pengertian kasih sayang dan kasihan belas juga meliputi
segala keadaan dan bidangnya.
Jika memulakan sesuatu dengan nama Allah yang mengandungi
maksud mentauhidkan Allah dan beradab sopan dengan-Nya itu merupakan
dasar pokok dalam kefahaman Islam, maka pencakupan segala pengertian
kasih sayang dan kasihan belas dengan segala keadaan dan bidangnya dalam
dua sifat ar-Rahman dan ar-Rahim itu merupakan dasar yang kedua di dalam
kefahaman ini dan ia juga menggariskan hakikat hubungan yang wujud di
antara Allah dengan para hamba-Nya.
Setelah dimulakan dengan nama Allah yang Maha Penyayang dan
Maha Pengasih, maka diiringi pula dengan menghadap Allah serta
Ayat-ayat Pilihan ____________________________________________________________________
Tafsir Fi Zilalil Quran 40
mempersembahkan kepada-Nya segala sanjungan dan pujian dan
menyifatkan-Nya sebagai Tuhan yang memegang teraju Rububiyah yang
mutlak terhadap semesta 'alam.
(Pentafsiran ayat 2)
( اْلحَمْدُ لّلهِ رَبِّ الْعَاَلمِينَ ( 2
2. Segala puji-pujian terpulang kepada Allah Tuhan yang memelihara
semesta alam.”
Alhamdulillah adalah perasaan kesyukuran yang melimpah pada hati
mu'min sebaik sahaja ia teringat kepada Allah, kerana kewujudan dirinya
dari mula lagi adalah dari limpah ni'mat kurniaan Ilahi yang membangkitkan
kesyukuran, pujian dan sanjungan, malah di setiap kelip mata dan detik
waktu, dan di setiap langkah Allah melimpahkan ni'mat dan rahmat-Nya ke
atas seluruh makhluk-Nya terutama manusia, kerana itu mengucap
Alhamdulillah di awal dan di akhir merupakan salah satu dari dasar-dasar
kefahaman Islam secara langsung. (Firman Allah):
وَهُوَ اللَّهُ َلا إَِلهَ إِلَّا هُوَ َلهُ اْلحَمْدُ فِي اْلُأوَلى وَالْآخِرَةِ وََلهُ الْحُكْمُ وَإَِليْهِ تُرْجَعُو َ ن
(70)
70. "Dan Dialah Allah, tiada Tuhan yang lain melainkan Dia, terpulang
kepada-Nya seluruh kepujian di awal dan di akhir."
(Surah Al-Qasas)
Namun demikian, kemurahan dan limpah kurnia Allah ke atas hambahamba-
Nya yang mu'min itu adalah sampai ke tahap setinggi-tingginya
apabila hamba itu berkata: "Alhamdulillah", maka Allah akan tuliskan
untuknya satu balasan kebaikan yang mengatasi segala timbangan neraca
yang lain.
Tersebut dalam Sunan Ibn Majah dari Ibn Umar R.A. bahawa
Rasulullah S.A.W. telah menceritakan kepada mereka; iaitu ada seorang
hamba Allah mengucap kepujian dengan kata:
(Ya rabbi lakalhamdu kama yam baghi li jala li wajhika wa 'azi mi sulto nik) "Wahai
Tuhanku! Segala kepujian itu terpulang kepada-Mu, iaitu kepujian yang layak
dengan keagungan zat-Mu dan kebesaran kuasa-Mu."
Ucapan ini telah menyulitkan dua Malaikat pencatat amalan, keduaduanya
tidak tahu bagaimana hendak menulis pahalanya lalu kedua-dua
Malaikat itu menghadap Allah dan berkata kepada-Nya: "Ada seorang hamba
mengucapkan pujian yang kami tidak mengetahui bagaimana hendak
menulis balasannya?" Firman Allah: (Sedangkan Dia lebih mengetahui apa
yang telah diucapkan hamba-Nya itu) "Apakah pujian yang telah diucapkan
oleh hamba Ku itu?" Jawab kedua-dua Malaikat itu dia berkata: "Wahai
Tuhanku segala kepujian itu terpulang kepada Mu, iaitu kepujian yang layak
Ayat-ayat Pilihan ____________________________________________________________________
Tafsir Fi Zilalil Quran 41
dengan keagungan zat-Mu dan kebesaran kuasa-Mu." Firman Allah kepada
kedua-duanya: "Tulislah ucapan itu sebagaimana yang diucapkan oleh
hamba Ku sehingga ia menemui Aku dan Akulah sendiri akan
membalaskannya."
Menghadap Allah dengan mengemukakan sanjungan dan kepujian
menggambarkan perasaan mu'min yang terharu sebaik sahaja ia teringat
kepada Allah sebagaimana telah kami terangkan sebelum ini.
Adapun bahagian akhir ayat: 2. "... Tuhan yang memelihara semesta
'alam," adalah menjadi dasar kefahaman atau kepercayaan Islam kerana sifat
Rububiyah yang mutlak dan menyeluruh itu merupakan salah satu daripada
dasar-dasar 'aqidah Islam.
Kata-kata "Rabb" bererti pemelihara, penguasa, pentadbir dan
pengurus yang memelihara urusan islah dan kerja-kerja tarbiyah dan
pengasuhan terhadap seluruh makhluk-Nya. Allah tidak menciptakan 'alam
kemudian membiarkannya begitu sahaja, malah Dia memperelok, menjaga,
memelihara dan mengasuhnya, kerana itu hubungan di antara Allah dengan
makhluk sentiasa berterusan pada setiap waktu dan keadaan.
Konsep Rububiyah Allah yang mutlak terhadap seluruh makhluk-Nya
merupakan persimpangan jalan yang memisahkan di antara 'aqidah tauhid
yang jelas dan sempurna dengan 'aqidah yang kabur yang terjadi akibat dari
ketidakjelasan dan ketidaktegasan hakikat tauhid ini. Ramai manusia yang
mengakui Allah sebagai Tuhan Pencipta 'alam, tetapi di samping itu mereka
mempercayai berbagai-bagai tuhan yang lain yang menguasai kehidupan
mereka.
Kepercayaan yang seperti ini nampak jelas anih dan lucu, tetapi itulah
yang telah berlaku dan sedang berlaku. Al-Qur'an telah menceritakan tentang
perkataan sekumpulan kaum Musyrikin yang menyembah bermacam-macam
tuhan itu.
مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيَُقرِّبُونَا إَِلى اللَّهِ زُْلَفى
3. "Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka
mendampingkan kami lebik dekat kepada Allah."
(Az-Zumar)
Al-Qur'an juga telah menceritakan tentang sekumpulan Ahlil Kitab.
اتَّخَ ُ ذوْا َأحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ َأرْبَابًا مِّن دُونِ الّلهِ
31. "Mereka mengambil ulama'-ulama' dan paderi-paderi mereka selaku
tuhan-tuhan yang lain dari Allah."
(At-Taubah)
'Aqidah-'aqidah Jahiliyah yang tegak di merata negeri semasa
kedatangan Islam adalah penuh dengan kepercayaan kepada berbagai-bagai
tuhan yang disifatkan sebagai tuhan-tuhan kecil di samping tuhan yang
agung mengikut sangkaan mereka.
Ayat-ayat Pilihan ____________________________________________________________________
Tafsir Fi Zilalil Quran 42
Konsep Rububiyah yang mutlak yang meliputi seluruh 'alam yang
terkandung di dalam surah ini merupakan persimpangan jalan yang
memisahkan di antara 'aqidah yang tersusun rapi dengan 'aqidah yang
kacau-bilau. Konsep ini bertujuan supaya seluruh 'alam bertawajjuh kepada
Allah yang Tunggal yang Berkuasa Penuh dan menolak semua tuhan yang
lain, juga menghapuskan kebingungan bertawajjuh kepada bermacammacam
tuhan itu dan seterusnya supaya hati seluruh 'alam tenang dan
tenteram kepada naungan dan Rububiyah Allah yang kekal dan
pemeliharaan-Nya yang tidak pernah putus dan tak kunjung hilang,
bukannya seperti pendapat Aristotle -- yang dianggap sebagai setinggi-tinggi
kefahaman falsafah -- yang mengatakan bahawa Allah telah menciptakan
'alam kemudian Ia tidak memperdulikannya dengan alasan kerana martabat
Allah itu begitu tinggi dan tidak wajar untuk memikirkan sesuatu yang
rendah dari-Nya dan kerana Allah hanya memikirkan tentang Zat-Nya
sahaja. Aristotle yang mengeluarkan pendapat ini merupakan ahli falsafah
yang paling besar dan akalnya merupakan akal manusia yang paling tinggi.
Islam datang ketika dunia dipenuhi dengan timbunan 'aqidah,
pemikiran, dongeng, pendapat falsafah, kepercayaan yang karut-marut, yang
bercampur aduk di antara yang benar dengan yang batil, yang betul dengan
yang palsu, agama dengan khurafat, falsafah dengan dongeng, dan hati
nurani manusia pada waktu itu meraba-raba dalam gelap gelita dan dalam
sangka-sangkaan tanpa berpijak pada suatu keyakinan. Padang gurun yang
tidak mempunyai sebarang kemantapan, sebarang keyakinan dan sebarang
nur itulah yang (menjadi latar belakang) yang melingkungi kefahaman dan
pemikiran manusia terhadap Allah, sifat-sifat-Nya, hubungan-Nya dengan
para makhluk-Nya terutama hubungan antara Allah dengan manusia.
Oleh sebab itu hati nurani manusia tidak berupaya memperoleh satu
pegangan yang kukuh mengenai persoalan 'alam ini, persoalan diri mereka
sendiri dan persoalan sistem hidup mereka sebelum mereka memperoleh
pegangan yang kukuh mengenai persoalan 'aqidah mereka, persoalan
kefahaman terhadap Tuhan mereka dan sifat-sifat-Nya dan sebelum mereka
mendapat satu keyakinan yang jelas dan lurus di tengah gumpalan awan
mendung, di tengah-tengah padang gurun dan di tengah-tengah timbunan
sampah-sarap kepercayaan yang karut itu. Seorang manusia itu tidak dapat
memahami betapa perlunya kemantapan ini sehingga ia mengetahui betapa
besarnya timbunan sampah kepercayaan yang karut itu dan sehingga ia
memeriksa padang gurun yang penuh dengan berbagai-bagai 'aqidah,
berbagai-bagai kefahaman, berbagai-bagai dongeng, berbagai-bagai pendapat
falsafah, berbagai-bagai tanggapan yang karut dan berbagai-bagai fikiran
yang kacau yang mencemari dan mempengaruhi hati nurani manusia. Inilah
keadaan yang didapati oleh Islam ketika ia datang.
Apa yang kami sebut secara sepintas lalu mengenai kepercayaankepercayaan
ini hanya satu bahagian yang kecil sahaja. (Dalam pentafsiran
Ayat-ayat Pilihan ____________________________________________________________________
Tafsir Fi Zilalil Quran 43
surah-surah al-Qur'an kelak akan dibentangkan berbagai-bagai bentuk
kepercayaan itu yang diolahkan oleh al-Qur'an dengan pengolahan yang
lengkap dan sempurna). Oleh sebab itulah perhatian pertama Islam adalah
lebih dahulu ditujukan kepada usaha membersihkan bidang 'aqidah
ketuhanan, menetapkan kefahaman yang meyakinkan hati nurani mengenai
persoalan Allah dan sifat-sifat-Nya dengan para makhluk-Nya dan hubungan
para makhluk dengan-Nya secara tegas dan yakin. Oleh sebab itulah
kepercayaan Tauhid yang sempurna, tulen, bersih dan menyeluruh, tidak
bercampur dengan sesuatu yang asing sama ada dari dekat atau dari jauh
merupakan tapak tegak kefahaman dan kepercayaan yang dibawa oleh Islam,
dan Islam terus berusaha membersihkan kepercayaan ini dalam hati nurani
manusia dan memeriksa setiap fikiran yang kotor di sekitar hakikat Tauhid
itu supaya ia bersih dari segala kekeliruan dan kesamaran dan supaya tetap
teguh tanpa dimasuki tanggapan yang karut baik dari apa-apa bentuk
sekalipun. Demikianlah Islam memberi kata pemutus yang begitu jelas dan
terang mengenai sifat-sifat Allah terutama sifat-sifat yang ada hubungan
dengan sifat Rububiyah yang mutlak.
Kebanyakan timbunan sampah-sarap kepercayaan yang wujud di
padang gurun itu ialah sampah pendapat-pendapat falsafah dan 'aqidah-
'aqidah yang simpang-siur, tanggapan-tanggapan yang kacau dan dongengdongeng
yang karut tentang persoalan sifat-sifat ketuhanan yang amat
penting ini, iaitu persoalan yang mempunyai kesan yang amat besar dalam
hati nurani manusia dan budipekerti mereka. Sesiapa yang mengkaji usahausaha
yang berterusan yang telah dilakukan oleh Islam untuk menegakkan
kata pemutus mengenal Zat Allah, sifat-sifat-Nya dan hubungan-Nya dengan
para makhluk-Nya, iaitu usaha-usaha dalam bentuk penerangan nas-nas al-
Qur'an yang begitu banyak tanpa mengkaji timbunan sampah-sarap
(kepercayaan karut) yang berat yang wujud di padang gurun yang amat luas,
di mana sesatnya umat manusia itu mungkin tidak dapat memahami sejauh
mana ia memerlukan kepada penerangan al-Qur'an yang berulang-ulang itu
dan kepada pemeriksaan yang begitu teliti di segala lorong dan pintu hati
nurani itu. Tetapi dengan mengkaji timbunan sampah sarap itu dapatlah
diketahui betapa perlunya usaha-usaha yang berterusan itu dan betapa
besarnya peranan yang dilakukan oleh 'aqidah Islam untuk membebaskan
hati nurani manusia dari kepenatan meraba-raba dan terumbang-ambing di
antara berbagai-bagai tuhan palsu, kepercayaan-kepercayaan dan dongengdongeng
yang karut-marut.
Keindahan, kesempurnaan dan keseimbangan 'aqidah Islam dan
kemudahan hakikat Tauhid yang agung yang didokong oleh Islam itu tidak
terserlah kepada hati dan akal manusia seterang yang terserlah kepadanya
setelah ia lebih dahulu mengkaji dan menyelidiki timbunan sampah-sarap
Jahiliyah dari berbagai-bagai 'aqidah, kepercayaan, dongeng dan falsafah
terutama yang memperkatakan tentang hakikat ketuhanan dan hubungannya
dengan 'alam. Ketika inilah 'aqidah Islam benar-benar merupakan rahmat
yang haqiqi kepada hati dan akal, iaitu satu rahmat yang mengandungi
Ayat-ayat Pilihan ____________________________________________________________________
Tafsir Fi Zilalil Quran 44
keindahan dan kemudahan, kejelasan dan keseimbangan, kehampiran,
kemesraan, dan keserasian secara langsung yang mendalam dengan fitrah
manusia.
(Pentafsiran ayat 3)
( الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ ( 3
3. Yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih.
Kedua-dua sifat yang meliputi segala pengertian kasihan belas dan
kasih sayang dalam segala keadaan dan bidangnya ini diulangi sekali lagi di
tengah-tengah ayat untuk menonjolkan lagi ciri yang jelas dari konsep
Rububiyah Allah yang sempurna dan untuk menegakkan asas-asas
hubungan yang kekal di antara Allah dengan makhluk-makhluk-Nya iaitu
hubungan kasih sayang dan belas kasihan yang merangsangkan kesyukuran
dan sanjungan, hubungan yang ditegakkan di atas rasa ketenteraman dan
kemesraan. Oleh sebab itulah kesyukuran dan sanjungan itu merupakan
sambutan semulajadi terhadap rahmat kasih sayang dan belas kasihan yang
lemah-lembut itu. Tuhan yang disembah dalam Islam tidak memburu para
hamba-Nya seperti musuh memburu musuh sebagaimana yang dilakukan
oleh tuhan-tuhan atau dewa-dewa Olympus (tempat kediaman tuhan-tuhan)
pada saat-saat mereka dilanda keinginan dan kemarahan seperti yang
digambarkan oleh dongeng-dongeng Greek.
Tuhan dalam Islam tidak merancangkan tipu daya membalas dendam
terhadap para hamba-Nya seperti yang didakwa oleh dongeng-dongeng yang
dipalsukan dalam Perjanjian Lama (Taurat) sebagaimana diceritakan di
dalam dongeng Babel bab dua belas Sifrut Takwin (Bahagian Penciptaan).
(Pentafsiran ayat 4)

( مَلِكِ يَوْمِ الدِّينِ
(4. Tuhan yang menguasai hari pembalasan.
Ini merupakan 'aqidah pokok yang amat besar dan mempunyai kesan
yang amat mendalam dalam seluruh hidup manusia, iaitu 'aqidah pokok
mempercayai hari Akhirat. Kata-kata "yang menguasai atau penguasa"
membayangkan darjah kuasa yang paling tinggi. "Hari Pembalasan" ialah
hari penentuan balasan di Akhirat. Ramai orang yang percaya kepada
Uluhiyah Allah dan percaya bahawa Allahlah yang menciptakan 'alam buana
ini bagi pertama kali, namun demikian mereka tidak percaya kepada Hari
Balasan. Keperihalan setengah-setengah mereka telah diceritakan oleh al-
Qur'an.
Ayat-ayat Pilihan ____________________________________________________________________
Tafsir Fi Zilalil Quran 45
وََلئِن سََأْلتَهُم مَّنْ خََلقَ السَّمَاوَاتِ وَالَْأرْضَ َليَقُوُلنَّ اللَّهُ
38. "Dan jika Engkau bertanya mereka: "Siapakah yang telah menciptakan
langit dan bumi, nescaya mereka menjawab: "Allah".
(Az-Zumar)
Kemudian dalam surah yang lain al-Qur'an menceritakan hal mereka:
بَ ْ ل عَجِبُوا َأن جَاءهُمْ مُنذِرٌ مِّنْهُمْ فَقَا َ ل الْ َ كافِرُو َ ن هَ َ ذا شَيْءٌ عَجِيبٌ ( 2) َأئِ َ ذا مِتْنَا
( وَ ُ كنَّا تُرَابًا َذلِكَ رَجْعٌ بَعِيدٌ ( 3
2-3. "Bahkan mereka hairan kerana mereka telah didatangi seorang Rasul
yang memberi peringatan dari kalangan mereka sendiri, lalu berkatalah
orang-orang kafir: "Ini adalah suatu perkara yang amat aneh. "Apakah
setelah kami mati dan menjadi tanah (kami akan dihidupkan kembali)? Itu
adalah suatu perkembalian yang amat jauh."
(Surah Qaf)
Kepercayaan terhadap Hari Balasan merupakan satu lagi 'aqidah
pokok di dalam Islam. Nilai kepercayaan ini ialah ia meletakkan pandangan
dan hati manusia pada sebuah 'alam yang lain setelah tamatnya 'alam bumi
supaya mereka tidak begitu terkongkong kepada keperluan-keperluan bumi
sahaja dan ketika itu mereka tidak lagi terpengaruh kepada keperluankeperluan
bumi, juga supaya mereka tidak begitu gelisah untuk
mendapatkan balasan dan ganjaran dari hasil usaha mereka dalam usia
mereka yang pendek dan di 'alam bumi yang terbatas ini dan ketika itu
barulah mereka dapat berbuat amalan-amalan semata-mata kerana Allah dan
sanggup menunggu ganjarannya mengikut bagaimana yang ditentukan Allah
sama ada di 'alam bumi ini atau 'alam Akhirat. Mereka sanggup menunggu
dengan tenang dan yakin terhadap balasan yang baik itu serta berpegang
teguh dengan kebenaran, mereka sanggup menunggu dengan selesa, lapang
dada dan penuh kepercayaan, kerana itu kepercayaan kepada Hari Balasan
merupakan persimpangan jalan yang memisahkan di antara perhambaan
kepada keinginan-keinginan hawa nafsu dengan kebebasan insaniyah yang
layak dengan kejadian makhluk manusia, persimpangan jalan yang
memisahkan di antara tunduk kepada kefahaman-kefahaman bumi, nilainilainya
dan ukuran-ukurannya dengan tunduk dan berpegang kepada nilainilai
Rabbaniyah dan tidak tunduk kepada logik Jahiliyah.
Seterusnya ia merupakan persimpangan jalan di antara insaniyah
dalam bentuk hakikatnya yang unggul sebagaimana yang dikehendaki Allah
kepada para hamba-Nya dengan insaniyah dalam bentuk-bentuknya yang
buruk, menyeleweng dan tidak sempurna. Kehidupan manusia tidak akan
bergerak lurus di atas jalan Allah yang luhur selagi kepercayaan pokok
kepada Hari Balasan ini tidak wujud dalam pemikiran mereka, selagi hati
mereka tidak yakin bahawa ganjaran dan balasan di 'alam bumi ini bukanlah
ganjaran mereka yang terakhir dan selagi mereka yang mempunyai usia yang
Ayat-ayat Pilihan ____________________________________________________________________
Tafsir Fi Zilalil Quran 46
terbatas itu tidak percaya bahawa di sana ada sebuah 'alam hidup Akhirat
yang patut mereka berjuang dan berusaha untuknya dan patut berkorban
untuk membantu kebenaran dan mendokong kebaikan dengan kepercayaan
akan mendapat balasan dan ganjaran Akhirat itu.
Orang-orang yang beriman kepada 'alam Akhirat dan orang-orang
yang engkar akan hari Akhirat tidak mempunyai titik-titik persamaan dari
segi perasaan, akhlak, kelakuan dan amalannya. Mereka merupakan dua
golongan manusia yang berbeza. Mereka tidak bertemu di bumi dan tidak
bertemu di Akhirat. Inilah persimpangan jalan.
(Pentafsiran ayat 5)
( إِيَّاكَ نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ ( 5
5. Hanya Engkau sahaja (Tuhan) yang kami sembah dan hanya kepada Mu
sahaja kami pohon pertolongan.
Ini satu lagi 'aqidah pokok yang lahir dari 'aqidah-'aqidah pokok yang
lepas yang telah diterangkan dalam surah ini, iaitu 'aqidah tiada 'ibadat
melainkan untuk Allah dan tiada permohonan pertolongan melainkan
kepada Allah. Di sini juga satu lagi persimpangan jalan, iaitu persimpangan
jalan yang memisahkan di antara kebebasan mutlak dari seluruh bentuk
perhambaan dengan perhambaan mutlak kepada sesama manusia.
'Aqidah ini merupakan sebuah perisytiharan hari keputeraan
kebebasan manusia yang mutlak dari perhambaan kepada kepercayaankepercayaan
yang karut-marut dan dari perhambaan kepada peraturanperaturan
dan undang-undang yang diciptakan manusia. Andainya Allah itu
sahaja Tuhan yang disembah dan dipohon pertolongan maka selama itulah
hati manusia bebas dari perhambaan kepada peraturan-peraturan dan
undang-undang ciptaan manusia dan dari perhambaan kepada tokoh-tokoh
sebagaimana ia bebas dari perhambaan kepada dongeng-dongeng dan
kepercayaan-kepercayaan yang karut-marut.
Di sini diterangkan sikap orang Muslim terhadap kuasa-kuasa
manusia dan kuasa-kuasa 'alam (tabi'i). Bagi seseorang Muslim kuasa-kuasa
manusia itu terbahagi kepada dua jenis:
Satu kuasa yang mendapat hidayah, yang beriman kepada Allah dan
yang menurut jalan Allah, kuasa inilah yang harus disokong olehnya dan
diberi kerjasama untuk menegakkan kebajikan, kebenaran dan kebaikan.
Satu lagi kuasa ialah kuasa yang sesat yang tidak mempunyai hubungan
dengan Allah dan tidak mengikut jalan-Nya. Kuasa inilah yang harus
diperangi, ditentang dan dicemburui olehnya. Seorang Muslim tidak harus
gentar kepada kuasa-kuasa yang sesat itu sama ada besar atau zalim, kerana
kuasa yang sesat dan terputus dari kekuatan Allah tiada lagi mempunyai
kekuatan yang haqiqi, ia telah kehilangan makanan tetapnya yang dapat
memelihara tenaga kekuatannya. Ia adalah sama seperti nasib serpihanserpihan
dari sebuah bintang yang bernyala, iaitu ia hanya sebentar sahaja
Ayat-ayat Pilihan ____________________________________________________________________
Tafsir Fi Zilalil Quran 47
bernyala, kemudian ia beransur-ansur malap, mendingin dan terus padam
biarpun bagaimana besar saiz serpihan-serpihan itu, tetapi sebiji atom yang
kecil yang berhubung dengan sumbernya yang memancarkan sinar itu tetap
kekal kekuatannya, kepanasannya dan cahayanya.
َ كم مِّن فَِئةٍ َقلِيَلةٍ َ غَلبَتْ فَِئًة َ كثِيرًَة بِإِذْنِ الّلهِ
249. "Berapa banyak kumpulan yang sedikit telah mengalahkan kumpulan
yang ramai dengan izin Allah?"
(Al-Baqarah)
Yakni mereka dapat mengalahkan kumpulan yang ramai itu dengan
sebab mereka mempunyai hubungan dengan Allah selaku sumber kekuatan
yang pertama dan kerana mereka mengambil kekuatan mereka dari Allah
satu-satunya sumber seluruh kekuatan dan kemuliaan. Sikap seseorang
Muslim terhadap kuasa-kuasa 'alam pula ialah sikap beramah-tamah dan
bersahabat bukan sikap takut-takut dan bermusuh, kerana kekuatan manusia
dan kekuatan 'alam adalah terbit dari kehendak iradat Allah belaka dan
kedua-duanya dikendalikan oleh kehendak iradat Allah, kedua-duanya
berlangsung seimbang dan saling membantu dalam pergerakan dan tujuan.
'Aqidah seseorang Muslim menyarankan bahawa Allah telah menciptakan
kuasa-kuasa 'alam itu untuk menjadi sahabat dan teman pembantu yang
boleh bekerjasama dan untuk menjalinkan persahabatan itu ia harus
mengkaji, mengenalpasti dan bekerjasama dengannya serta bersama-sama
bertawajjuh kepada Allah selaku Tuhannya dan Tuhan kuasa-kuasa itu. Dan
andainya kuasa-kuasa itu kadang-kadang mendatangkan kemerbahayaan
kepada manusia, maka itu hanya merupakan akibat dari sikap manusia yang
tidak mengkajinya dengan teliti dan tidak mempunyai pengetahuan yang
cukup tentang undang-undang perjalanannya.
Biasanya orang-orang Barat yang mewarisi kepercayaan Jahiliyah
Roman menggunakan ungkapan "menakluk 'alam" untuk menyatakan
sesuatu kejayaan mempergunakan kuasa-kuasa 'alam. Ungkapan ini jelas
menggambarkan satu pandangan Jahiliyah yang putus hubungan dengan
Allah dan dengan roh 'alam buana yang patuh kepada Allah, sedangkan
seseorang Muslim yang mempunyai hubungan yang baik dengan Allah
Tuhannya yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih, juga mempunyai
hubungan yang mesra dengan roh 'alam buana yang bertasbih kepada Allah
Tuhan yang memelihara semesta 'alam adalah tetap beranggapan bahawa di
sana ada lagi hubungan yang lain dari hubungan menakluk yang kasar itu. Ia
beranggapan bahawa Allah itulah Pencipta seluruh kuasa-kuasa 'alam itu,
Allah menciptakan kuasa-kuasa itu mengikut satu peraturan yang sama
supaya manusia dapat bekerjasama dengan-Nya untuk mencapai matlamatmatlamat
yang telah ditentukan kepadanya mengikut peraturan itu.
Sejak dari awal kuasa-kuasa itu telah diciptakan Allah supaya dapat
digunakan oleh manusia, kerana itu Allah memberi kemudahan-kemudahan
kepada mereka untuk menemui rahsia-rahsia kuasa itu dan
Ayat-ayat Pilihan ____________________________________________________________________
Tafsir Fi Zilalil Quran 48
mengenalpastikan peraturan-peraturannya. Oleh sebab itu manusia harus
bersyukur kepada Allah apabila ia berjaya mendapat pertolongan dari manamana
kuasa itu kerana Allahlah yang menundukkan kuasa-kuasa itu untuk
digunakan mereka dan bukan mereka yang dapat menaklukinya.
Firman Allah 'Azzawajalla:
وَسَخَّرَ َل ُ كم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الَْأرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ
13. "Dialah yang menciptakan untuk kamu segala apa yang ada di bumi."
(Surah al-Jathiah)
Dengan sikap sedemikian hati seorang Muslim tidak akan dipenuhi
dengan anggapan-anggapan yang salah terhadap kuasa-kuasa 'alam dan
tidak akan timbul perasaan-perasaan cemas dan takut terhadap kuasa-kuasa
itu. Ia hanya beriman, menyembah dan memohon pertolongan kepada Allah
yang Tunggal sahaja, kerana kuasa-kuasa 'alam itu adalah dari ciptaan Allah
belaka. Ia mengkaji dan mempelajari rahsia-rahsia kuasa 'alam dan dari
kajiannya itulah ia mendapat pertolongan dari kuasa-kuasa itu dan
mengetahui rahsia-rahsianya dan membolehkannya hidup bersama-sama
kuasa-kuasa itu di sebuah 'alam yang mesra dan dalam hubungan
persahabatan yang baik.
Alangkah indahnya sabda Rasulullah SAW ketika beliau merenung
Bukit Uhud: "Bukit ini sayang kepada kita dan kita juga sayang kepadanya."
Dalam kata-kata ini terbayang segala perasaan kasih mesra yang tersemat di
dalam hati Muslim yang utama Muhammad S.A.W. yang terjalin di
antaranya dengan kejadian-kejadian 'alam di ruangnya yang besar dan kasar.
Setelah menjelaskan dasar-dasar 'aqidah yang asasi dalam kefahaman
Islam dan menjelaskan konsep tawajjuh kepada Allah yang Tunggal, iaitu
konsep yang menentukan segala 'ibadat dan memohon pertolongan kepada
Allah yang Tunggal sahaja, maka ayat yang berikut menjelaskan pula cara
'amali untuk bertawajjuh dengan berdoa kepada Allah dalam bentuknya
yang umum sesuai dengan suasana dan sifat surah ini.
( اهدِنَا الصِّرَا َ ط اُلمستَقِيمَ ( 6
6. Tunjukkan kami jalan yang lurus.
Maksudnya kurniakan Taufik kepada kami untuk mengenalpasti jalan
yang lurus dan selepas mengenalinya kurniakanlah pula Taufik kepada kami
untuk mengikut jalan yang lurus itu dengan penuh kejujuran. Mengenal dan
berjalan di atas jalan yang lurus itu merupakan hasil dari hidayah,
pemeliharaan dan rahmat Allah. Bertawajjuh kepada Allah dengan berdoa
merupakan hasil dari kepercayaan bahawa Allah itulah satu-satunya Tuhan
yang berkuasa memberi pertolongan. Hidayah inilah merupakan perkara
yang paling penting bagi seseorang mu'min. Ia merupakan perkara utama
yang harus dipinta pertolongan Allah untuk mencapaikannya. Mendapat
Hidayah ke jalan lurus itulah jaminan kebahagiaan hidup di dunia dan
Ayat-ayat Pilihan ____________________________________________________________________
Tafsir Fi Zilalil Quran 49
Akhirat. Hidayah ke jalan yang lurus pada hakikatnya ialah Hidayah untuk
memimpin fitrah manusia kepada undang-undang Allah yang mengatur dan
memperseimbangkan di antara harakat manusia dengan harakat 'alam alwujud
seluruhnya menuju kepada Allah Tuhan Semesta 'Alam. Ayat yang
berikut menjelaskan sifat jalan yang lurus itu:
(Pentafsiran ayat 7)
( صِرَا َ ط الَّذِينَ َأنعَمتَ عََليهِمْ َ غيرِ اَلمغضُوبِ عََليهِمْ وَ َ لا الضَّالِّينَ ( 7
7. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan ni'mat ke atas
mereka bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai dan bukan pula
jalan orang-orang yang sesat.
Yakni jalan orang-orang yang Allah kurniakan ni'mat-Nya kepada
mereka bukan jalan orang-orang yang dimurkai-Nya, iaitu mereka yang
mengenal jalan yang benar, kemudian mereka menyimpang darinya atau
mereka yang sesat terus dari mula-mula lagi dari jalan yang benar. Jalan yang
lurus ialah jalan orang-orang yang berbahagia, yang mendapat hidayah dan
sampai kepada Allah.
Di samping itu, inilah surah yang dipilih untuk dibaca berulang-ulang
kali dalam setiap solat dan mana-mana solat tidak sah tanpa membacanya.
Walaupun surah ini pendek namun ia mengandungi dasar-dasar 'aqidah
yang asasi dalam kefahaman Islam dan mengandungi tawajjuh atau doa-doa
kepada Allah secara sedar yang terbit dari kefahaman itu.
Tersebut dalam Sohih Muslim dari hadith al-'Ala' ibn Abdur Rahman
Maula al-Harqah dari bapanya Abu Hurairah dari Rasulullah S.A.W.: Firman
Allah Ta'ala:
"Aku telah membahagikan solat (al-Fatihah) kepada dua bahagian,
separuhnya untuk-Ku dan separuh lagi untuk hamba-Ku dan untuk hamba-
Ku apa sahaja yang dipohonkan kepada-Ku," apabila hamba-Ku berkata:
(alhamdulillahirabbil'alamin) Allah menjawab: "Hamba-Ku telah memuji-Ku"
apabila hamba itu berkata: (arrahmanirrahim) Allah menjawab: Hamba-Ku
telah memberi sanjungan kepada-Ku:" apabila hamba itu berkata:
(malikiyaumiddin) Allah menjawab: "Hamba-Ku telah mengagungagungkan-
Ku dan apabila hamba itu berkata: (iyakana'buduwaiya kanasta'in)
Allah menjawab: "Ini di antara hamba-Ku dengan Aku dan untuk hamba-Ku
apa sahaja yang dipohonkan kepada-Ku," apabila hamba itu berkata:
(ihdinassira tal mustaqim siratallazi naan 'am ta 'alaihim ghairil maghdu bi
'alaihim waladdha lin) Allah menjawab: "Ini untuk hamba-Ku dan untuk
hamba-Ku apa sahaja yang dipohonkan kepada-Ku." Setelah maksud ayatayat
itu dihuraikan dengan jelas ternyatalah kepada kita bahawa hadith yang
sohih ini telah mendedahkan salah satu daripada rahsia-rahsia (kebesaran)
surah al-Fatihah ini yang dipilih sebagai surah yang dibaca oleh setiap
Muslim sebanyak tujuh belas kali sehari semalam atau sebanyak mana yang
disukainya apabila ia berdoa kepada Allah di dalam solat.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
IMAM MUDA QARYAH
IIkhlas
MMesra
AAmanah
MMenawan
MManis
UUntung
DDinamik
AAlim
QQualiti
AAbadi
RRamah
YYakin
AAsli
HHarum
Cari MAKNA Nama ANDA?