Wednesday, August 31, 2011

Tenanglah wahai hati



Setiap hari kita ketawa.
Setiap hari kita jumpa kawan.
Setiap hari kita dapat apa yang kita inginkan.
Tetapi... kenapa hati kita tak gembira?

Kita sembahyang setiap hari. Kita berdoa selalu pada Allah. Kita mintak sungguh-sungguh pada Allah. Tetapi... kenapa susah sangat doa kita nakmakbul? Sedangkan Allah ada berfirman, "Berdoalah pada Ku, nescaya akan Ku kabulkan..."

Apa masalah kita?
Hati kita tidak gembira sebab kita tidak pernah bersyukur dengan apa yang kita ada. Kita tak pernah nak menghargai setiap nikmat yang kita dapat. Kita asyik memikirkan benda yang kita tak ada, sampai kita lupa melihat nikmat di sekeliling kita.

Kita berdoa, tetapi kenapa payah sangat doa kita Allah nak makbulkan?
Sebab kita asyik meminta pada Allah, tetapi kita tak pernah mintak ampun pada Allah, sedangkan dosa-dosa kita terlampau banyak pada Allah. Alangkah tidak malunya kita.
Kita merintih, kita merayu agar Allah makbulkan doa kita. Tetapi, lepas kita dapat kesenangan kita lupa pada Allah, kita tidak bersyukur pada Allah. Apabila datang kesusahan, baru ingat Allah balik. Baru nak menangis, merintih... mintak Allah pandang kita. Macam mana Allah nakmakbulkan doa kita?

Cuba kita renung diri kita kita. Cuba hitung, berapa kali kita sebut kalimah syukur dalam satu hari? Tak payah seminggu, cukuplah sehari sahaja. Berapa kali agaknya? Itupun kalau ada sebut la...
Pernah kita bangun malam, solat sunat? Solat tahajud? Solat taubat? Pernah?
Ada, mungkin ada, tapi dulu... waktu zaman sekolah dulu. Itupun, lepas kena ketuk dengan warden, suruh bangun. Lepas tu... ada? Ada, time dah nak exam... waktu rasa result macam ada aura nak fail. Siap buat solat hajat lagi! Lepas dapat result tu, ada tak buat sujud syukur?Hmm... entah la, tak ingat pulak.
Hari-hari kita buat baik. Kita tolong orang. Kita sedekah dekat orang. Kita buat macam-macam. Tetapi kenapa kita tak dapat nak rasa kemanisan setiap perbuatan yang kita lakukan itu? Hati kita tetap juga tak tenang. Kenapa ye?

Sebab dalam hati kita tak ada sifat ikhlas. Mulut cakap ikhlas, hati kata lain. Macam mana tu? Kita tolong orang sebab nak harapkan balasan. Nakkan pujian. Nakkan nama. Kita riak dengan setiap kebaikan yang kita buat. Macam mana hati nak tenang?
Bila dapat kejayaan, kita bangga dengan apa yang kita ada. Mula nak menunjuk-nunjuk dekat orang. Sampai lupa siapa sebenarnya yang bagi kejayaan itu dekat kita.
Alangkah tidak malunya kita... sedangkan Allah menciptakan kita sebagai khalifah di bumi ni.
Kitalah sebaik-baik kejadian yang Allah pernah ciptakan sehingga semua makhluk sujud pada bapa kita, Nabi Adam kecuali Iblis Laknatullah.
Betapa Allah muliakan kejadian manusia.
Tapi, kita sendiri tidak memelihara diri kita. Kita lupa tanggungjawab kita sebagai hamba. Kita lupa kepada yang mencipta diri kita. Bahkan, kita alpa dengan nikmat yang ada.
Nabi Muhammad S.A.W, pada saat malaikat ingin mencabut nyawa Baginda, Baginda masih memikirkan umat-umatnya. Ummati! Ummati! Sampai begitu sekali sayang Rasulullah pada kita. Tapi kita...? Kita lupa pada Baginda Rasul. Berat benar lidah kita nak berselawat ke atas Baginda. Macam mana hati kita nak tenang?

Lembutkanlah hati kita. Tundukkanlah diri kita pada Allah. Bersyukur dengan nikmat yang Allah pinjamkan pada kita. Semua itu tidak akan kekal. Bila-bila masa Allah boleh tarik balik semua itu. Ikhlaskanlah hati dalam setiap perkara yang kita buat.
  • Sesungguhnya, hanya Allah sahaja yang berkuasa menilai keikhlasan hati kita. Insya-Allah, kita akan dapat merasai kelazatan halawatul Iman itu sendiri. Tenanglah dikau, wahai hati...
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

aku Berasa Segan




Segan bila tangan lagi laju membuka laptop,
dari membuka kitab Allah, dan dari study.
Segan bila mata lagi seronok melihat cerita.
Segan bila kaki lagi cepat untuk ke mall,
dari melangkah ke masjid.
Segan bila mulut asyik bercerita, dari berzikir mengingati Allah.
Segan bila telinga lagi seronok mendengar lagu,
yang menyeronokkan jiwa,
berbanding mendengar ayat-ayat Allah.
Terasa segan,
bila ditimpa masalah atau musibah,
terus mencari manusia untuk mengadu,
bukannya DIA.
Segannya bila ada ujian, mulut laju merungut, 
bukannya cepat-cepat menenangkan diri dengan kalimah Allah.
Bila dititipkan harapan,
Lebih mengikut kata hati,
Lebih menyebelahi kata nafsu,
Hanya bila harapan itu pudar baru mencari DIA,
Malunya bila rasa dah belakangkan DIA.
Oh, terasa segan.
Segan bila hati lagi laju mencari cinta manusia
Dari mencari Ilahi,
Segan bila diri diperingatkan tapi masih begitu.
Segan dengan Dia yang Maha Melihat,
Segan dengan Dia yang Maha Mengerti,
Segan dengan Dia yang Maha Memahami.
Segan dengan Dia yang Maha Pengampun!
Segan dengan dosa yang dilakukan,
Terasa bersalah dengan Dia.
Sedangkan diri tahu, Dia sentiasa ada.
Diri tahu Dia tak pernah tinggalkan hamba-Nya walau sesaat.
Tapi kenapa diri masih tegar melakukan kesalahan?
Oh, sebab diri ditaraf hamba,
Hamba yang sering leka dengan dunia,
Memang sering melakukan kesilapan demi kesilapan.
Tapi bukankah sifat Mukmin, mereka takkan jatuh ke dalam lubang yang sama dua kali?
Terasa bagaikan ada batu yang menghempap kepala. Sakit.
Ish, dah tahu rupanya begitu.
Tapi kenapa tidak mahu ambil pengajaran lagi?
Dan terasa segan.
Benar, diri bukanlah Maksum bagaikan baginda Rasulullah.
Diri adalah hamba, ditaraf hamba.
Yang di bawah dan yang terhina.
Tapi, kalau diri mengakui beriman
sudah tentu diri akan melakukan kebaikan.
Sudah tentu diri akan sentiasa membetulkan diri.
Sudah tentu diri akan selalu muhasabah diri.
Jadi,
Kalau terasa segan, bersyukurlah.
Hati dan perasaan tengah nak kembali pada yang Hak.
Jiwa masih lagi utuh untuk mengikat kata cinta pada Dia.
Allah sebenarnya tengah bagi peluang
Untuk diri bertaubat dan bertaubat lagi.
Gunakan kesempatan yang ada,
Kerana diri tidak tahu apakah ini nafas yang terakhir?
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Monday, August 29, 2011

4 pensyaratun MengHidupkan Hati Dengan Al-Quran





Hati yang hidup menggerakkan potensi yang ada pada diri seseorang.
Sebaliknya, hati yang mati membunuh segala bakat dan potensi diri.

AL-QURAN ADALAH HATI KU
 

Sesuatu umat hanya boleh dibangunkan dengan menggerakkan potensi dirinya serta mengarahkannya kepada pembangunan.
Dengan pengutusan Rasulullah SAW, segala bakat dan potensi sahabat yang selama ini terpendam digerakkan dengan penghayatan al-Quran.
Hati yang hidup adalah hati yang subur dan bersedia untuk mendengar, melihat dan menerima kebenaran.
Hati yang hidup begini mempunyai nur, tenaga dan kekuatan.

Ia sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah dengan penuh khusyuk, takwa serta kasih dan simpati kepada sesama makhluk.
Hati yang dihidupkan dengan al-Quran bersedia mematuhi segala perintah syarak.

Dengan mematuhi segala perintah syarak barulah kehidupan manusia akan sempurna. Bukankah Allah berfirman bermaksud:

"Sesungguhnya al-Quran ini membimbing ke jalan yang lurus (benar)."
- Surah al-Isra’, ayat 9

Perkara ini disebutkan juga dalam firman-Nya bermaksud:

"Taha (maknanya hanya diketahui Allah). Kami tidak menurunkan al-Quran kepadamu supaya kamu menjadi susah, tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut kepada Allah; iaitu diturunkan daripada Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi?" 

- Surah Taha, ayat 1-4

Maka untuk menghidupkan hati dengan al-Quran, kita memerlukan beberapa syarat:
Pertama, al-Quran hendaklah dibaca dengan tenang dan khusyuk, dalam keadaan bersunyi diri (berkhalwah), terutama pada waktu tengah malam atau fajar (Subuh).

Allah berfirman bermaksud:

"Sesungguhnya membaca al-Quran pada waktu fajar (Subuh) itu disaksikan malaikat."
- Surah al-Isra’, ayat 78

Kedua, membaca al-Quran dengan pengamatan maknanya seperti yang dijelaskan dalam firman Allah bermaksud:

"Tidakkah mereka merenungi (tadabur) al-Quran itu?" 
- Surah Muhammad, ayat 24

Pembacaan yang disertai dengan renungan dan pengamatan sedemikian akan membuka pintu hati seseorang untuk menerima kebenaran yang terkandung dalam al-Quran.
Dengan perkataan lain, roh dari alam tinggi (alam Ketuhanan) yang dibawa oleh al-Quran itu akan turun dan meresapi ke dalam hati pembaca al-Quran kemudian ia menghidupkannya.

Dengan itu hati dapat mengenal kebenaran dengan mudah dan mencintainya. Nilai kebenaran dan kebaikan akan tumbuh subur dalam jiwanya. Lantas ia menyukai kedua-keduanya, tetapi membenci dan menentang kebatilan dan kejahatan.
Ketiga, sentiasa bersikap bersedia untuk menerima kebenaran al-Quran sebelum membaca atau mendengarnya.
Manusia sering dikuasai oleh hawa nafsunya. Segala keinginan dunia (hingga membawa kepada kegilaan) adalah dinding (hijab) tebal yang menutup hati seseorang itu sehingga menyebabkan enggan menerima hidayah Allah melalui al-Quran.
Keempat, merealisasikan kehambaan ('ubudiyyah) diri sewaktu membaca al-Quran.

Perasaan ini akan dapat menimbulkan keazaman untuk merealisasikan segala ajaran al-Quran yang dibaca itu dalam kehidupan. Ini semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah.
Dalam perkataan lain, pembacaan yang sedemikian akan menimbulkan keazaman untuk bermujahadah iaitu melawan kemahuan diri yang bertentangan dengan tuntutan ‘ubudiyyah kepada Allah.
Melaksanakan segala perintah Allah yang terkandung dalam al-Quran adalah tafsiran makna ayat yang dibacanya itu di dalam kehidupan.

Untuk memastikan ia terus hidup dan segar, maka hati perlu sentiasa menjalani proses mujahadah (melawan segala kemahuan diri yang bertentangan dengan ajaran Islam).

Hati yang tidak bermujahadah, ertinya hati itu beku dan kotor. Hati yang kotor dan beku menyebabkan seseorang itu tidak ingin melakukan kebaikan, malah ia sentiasa melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Perkara ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW bermaksud: "Huzaifah berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara tegak-menegak antara satu sama lain. Mana-mana hati yang dihinggapi oleh fitnah, nescaya akan terlekat padanya bintik-bintik hitam.

"Begitu juga dengan hati yang tidak dihinggapinya, akan terlekat padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati itu terbahagi kepada dua.

"Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada, manakala sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga yang berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran, segala-galanya adalah mengikut keinginan."
(Riwayat al-Bukhari di dalam Kitab Iman, Hadis No. 207)
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Kini Bertudung berkat HIDAYAH allah







Artis adalah golongan yang sering menjadi ikutan masyarakat terutamanya di kalangan muda remaja. Jika artis kesukaan mereka memakai topi Nike, pasti peminatnya akan cuba memiliki topi yang sama. Hatta jika seorang artis terkenal itu memakai gincu Avon, pasti ramai pengikutnya akan menyerbu stokis Avon untuk membeli gincu tersebut.
Maka tidak hairanlah jika ramai artis terkenal turut menjadi model bagi iklan-iklan produk di TV, radio, majalah dan surat khabar.

Bayangkan jika seorang artis yang sangat terkenal hari ini seperti Lisa Surihani tiba-tiba memakai tudung sepanjang masa? Mungkin ramai yang bakal mengikuti penghijrahannya. Apapun, pilihan di tangan kita.
Kelmarin penyanyi Ramlah Ram muncul dengan penampilan bertudung ketika menjadi artis undangan pada Separuh Akhir Muzik Muzik 25 yang berlangsung di Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Alhamdulillah.
Kami ingin mengucapkan tahniah atas penghijrahan yang telah dilakukan oleh beliau.

"Saya rasa inilah imej yang sesuai dengan usia sekarang. Lagi pula saya rasa tenang selepas bertudung ini. Dari segi rezeki pula, saya hanya serahkan kepada Allah. Saya yakin saya masih boleh mencari rezeki dengan penampilan sebegini," katanya.
MStar melaporkan bahawa hajat Ramlah Ram untuk bertudung sudah lama, tapi mungkin ketika itu beliau belum bersedia sepenuhnya. Pada awalnya beliau cuba pakai tudung ketika keluar tetapi tidak selalu.

Beliau secara rasminya bertudung beberapa minggu lalu dan sudah beberapa persembahan beliau muncul dengan penampilan baru ini.
Kami doakan Ramlah Ram terus istiqamah dengan perubahan ini dan harap-harap penghijrahannya dapat dicontohi artis-artis lain dan para peminat.
Peringatan daripada Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud :

"Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinyua agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung." 
(Surah An-Nur, 31)

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
(Surah Al-Ahzab, 59)



Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Merungkai Maksud 'صوم '

 Sabar itu adalah separuh daripada IMAN






Dalam satu risalah yang bertajuk Rahsia-Rahsia Puasa hasil penulisan Syeikh Soleh al-Jaafari ada merungkaikan maksud puasa dalam bahasa Arab yang membentuk perkataan Soum - صوم (Puasa). Syeikh Soleh al-Jaafari merupakan ulama' terkenal al-Azhar dan juga merupakan ulama' yang mempunyai salasilah keturunan sampai kepada Nabi Muhammad S.A.W.
Huruf yang membentuk perkataan صوم ini dihuraikan oleh Syeikh Soleh al-Jaafari dengan cukup mendalam.
ص - Sabar
و - Wara'
م - Muhsin
  • Huruf yang pertama dimaksudkan dengan sabar. Syeikh Soleh al-Jaafari menyebut bahawa setiap orang yang berpuasa akan diuji dengan kesabaran. Beliau juga membahagikan sabar ini kepada tiga bahagian:
  1. Sabar dalam melaksanakan perintah Allah S.W.T
Bulan Ramadhan merupakan bulan yang penuh dengan ujian. Tujuannya ialah untuk menguji kesabaran orang-orang yang berpuasa. Kita perlu memperbanyakkan sabar dalam kehidupan seharian kita. Dalam bulan ini, Allah S.W.T menguji tahap kesabaran hamba-Nya antaranya larangan makan dan minum pada siang hari.
  1. Sabar dalam meninggalkan perintah Allah S.W.T
  2. Sabar dalam menghadapi bala/ ujian dari Allah S.W.T
  • Huruf yang kedua pula dimaksudkan dengan wara'. Wara' ialah menjaga diri kita yakni anggota yang tujuh daripada terjerumus ke dalam perkara-perkara yang syubhat
  • Huruf yang ketiga dan terakhir yang dimaksudkan ialah muhsin. Maksudnya, semasa bulan yang penuh keberkatan ini kita hanya berfikir untuk membuat kebaikan sesama manusia. Selain itu, kita punya perasaan belas kasihan kepada sesama makhluk.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Ucapan Salam Di Syurga




(Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (dari kufur syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka: Selamat sejahtera kepada kamu; masuklah ke dalam Syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan. 
(Surah An-Nahl ayat 32)

Sejarah SALAM


Diriwayatkan bahawa ketika Nabi Adam (AS) selesai diciptakan, Allah (SWT) menyuruh Nabi Adam (AS) bertemu dengan segolongan malaikat yang sedang duduk dan memberi salam kepada mereka."Dengarkanlah, jawapan salam mereka kepadamu, sesungguhnya itu adalah sebagai penghormatan bagimu dan bagi keturunanmu", Allah (SWT) berfirman kepada Nabi Adam (AS). Maka Nabi Adam (AS) pun menghampiri para malaikat itu dan mengucapkan salam yang diajarkan Allah keapda baginda iaitu: "Assalamu 'alaikum".

"Waalaikumus salam warahmatullah", jawab para malaikat.
(HR. Bukhari - Muslim).

Prinsip-Prinsip Dalam Lafaz Salam

1. Mengingati  Allah  (SWT).
2. Peringatan kepada diri sendiri untuk menjaga kesejahteraan.
3. Ungkapan dan penyebaran kasih sayang antara sesama umat Islam.
4. Doa yang istimewa.
5. Janji dan pengakuan bahawa 'anda aman dari bahaya tangan dan lidahku' kepada orang yang diucapkan salam.

Protokol Ucapan Salam

Protokol (adab) dalam mengucapkan salam adalah seperti berikut:
- Orang yang berkenderaan mendahului memberi salam kepada orang yang berjalan kaki.
- Orang yang berjalan kaki mendahului memberi salam kepada orang yang duduk.
- Kelompok yang sedikit mendahului memberi salam kepada kelompok yang lebih ramai.
- Orang yang hendak meninggalkan sesuatu tempat memberi salam kepada orang yang tinggal.
- Semasa keluar rumah dan juga semasa  pulang ke rumah, ucapkanlah salam walaupun tidak ada orang di rumah
- Jika bertemu berulang-ulang maka ucapkan salam setiap kali bertemu.
- Orang yang hendak berucap mengucapkan salam kepada orang yang mendengar (di depannya)
- Orang yang lebih muda mendahului mengucapkan salam kepada orang yang lebih tua.
- Orang yang baru sampai mengucapkan salam kepada orang yang telah dahulu berada di satu-satu tempat.

SALAM: Ucapan Penghuni Syurga


UCAPAN atau perkataan yang digunakan oleh para penghuni syurga adalah ucapan salam atau ucapan keselamatan dan kata-kata yang baik kerana kebahagiaan mereka dapat memasuki syurga. Tiada perkataan  melukakan perasaan atau ucapan yang sia-sia dan keji. Semua ucapan penghuni syurga adalah ucapan kesejahteraan, kasih sayang dan kebahagiaan.

"Mereka (para penghuni syurga) tidak akan mendengar perkataan yang sia-sia yang menyebabkan dosa, melainkan perkataan salam, selamat, sejahtera." 
(Surah Al-Waqi'ah : 25-26).

Dan para malaikatpun akan menyampaikan ucapan selamat kepada penghuni-penghuni syurga : "Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhannya, dihalau ke dalam syurga dengan berbondong-bondong, sehingga apabila mereka sampai kepadanya, dibukalah pintu-pintunya dan berkata malaikat-malaikat penjaganya kepada mereka : Selamat untukmu, kamu telah suci, maka masuklah kamu kedalam syurga serta kekal (di dalamnya)."  
(Surah Az-Zumar: 73).

Sekiranya kita mengaharapkan dan mengimpikan kehidupan di syurga, maka budayakan ucapan salam dan perkataan yang baik-baik dalam kehidupan kita di dunia ini.


لَّا يَسۡمَعُونَ فِيہَا لَغۡوًا إِلَّا سَلَـٰمً۬ا‌ۖ وَلَهُمۡ رِزۡقُهُمۡ فِيہَا بُكۡرَةً۬ وَعَشِيًّ۬ا

""Mereka (para penghuni syurga) tidak mendengar perkataan yang sia-sia di dalamnya melainkan perkataan salam (perkataan yang baik), dan bagi mereka (pula) memperoleh rezeki di dalamnya pagi dan petang."
(Surah Mariam Ayat ke 62)
 
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Malaikat & Arasy



Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu Dia bersemayam di atas arasy. Dia menutupkan malam kepada siang yang mengikutinya dengan cepat, dan (diciptakan-Nya pula) matahari, bulan dan bintang-bintang (masing-masing) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, menciptakan dan memerintah hanyalah hak Allah. Maha Suci Allah, Tuhan semesta alam. 
(Surah Al-A'raf 7: Ayat ke 54)

الَّذِينَ يَحْمِلُونَ الْعَرْشَ وَمَنْ حَوْلَهُ يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَيُؤْمِنُونَ بِهِ وَيَسْتَغْفِرُونَ لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا وَسِعْتَ كُلَّ شَيْءٍ رَّحْمَةً وَعِلْمًا فَاغْفِرْ لِلَّذِينَ تَابُوا وَاتَّبَعُوا سَبِيلَكَ وَقِهِمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ

"(Malaikat-malaikat) yang memikul arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya bertasbih memuji Tuhannya dan mereka beriman kepada-Nya serta memintakan ampun bagi orang-orang yang beriman (seraya mengucapkan): ""Ya Tuhan kami, rahmat dan ilmu Engkau meliputi segala sesuatu, maka berilah ampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan Engkau dan peliharalah mereka dari siksaan neraka yang menyala-nyala," 
(Surah Al-Ghafir 40: Ayat ke 7)
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Sedikit Coretan Tentang Al-Quran



Ketika saya menghadiri satu majlis Qira'at di Universiti Birmingham di United Kingdom, hati saya sangat tersentuh apabila salah seorang juri, ustazah Badriyah memberikan perkongsian berkaitan al-Quran.
Ketika itu saya terfikir, adakah kita cukup menghargai al-Quran? Kenapa kita perlu hargai al-Quran?

kita harus tahu betapa susahnya untuk sahabat-sahabat dahulu menulis al-Quran. Apabila Rasulullah menerima wahyu Allah yang disampaikan oleh malaikat Jibril, Rasulullah akan menyampaikan wahyu itu kepada sahabat-sahabat.
Sahabat-sahabat akan menyalin satu persatu wahyu dari Allah ini. Setiap patah dan ayat al-Quran akan disalin oleh sahabat-sahabat daripada bacaan Rasulullah. Kemudian Rasulullah akan bertanyakan kepada malaikat Jibrail samada tepat dan benarkah apa yang ditulis oleh para sahabat kerana betapa wahyu Allah dijaga kesuciannya agar tidak tersilap tulis.
Mengapa bukan Rasulullah saw. sendiri yang menulis? Nabi Allah yang mulia itu seorang yang ummi iaitu bukanlah seorang yang buta huruf seperti yang kita sangkakan tetapi baginda seorang yang tak membaca dan tak menulis. Antara hikmah di sebalik kejadian Rasulullah yang tidak dapat manulis ini adalah menjadi bukti kepada orang-orang terdahulu bahawasanya, ayat al-Quran bukanlah direka-reka oleh Rasulullah, tetapi sebenar-benarnya daripada Allah swt. Allahuakbar. Hebat sungguh perancangan Allah.

Satu benda yang sangat mengagumkan saya adalah setelah mengetahui betapa kita, umat manusia adalah sangat beruntung. Ketahuilah bahawa semasa kita membaca al-Quran, para malaikat akan datang kepada kita, dengan jarak yang sangat hampir. Terlalu hampir kerana malaikat-malaikat ingin mendengar bacaan al-Quran yang dibaca oleh kita, para muslimin dan muslimat. Para malaikat tidak boleh membaca al-Quran dan hanya boleh mendengar bacaan al-Quran daripada kita.
Mengapa kita beruntung? Sesungguhnya kita adalah makhluk yang dipilih oleh Allah yang dapat membaca al-Quran dan diberi kebaikan sebanyak sepuluh kali ganda untuk setiap huruf yang dibaca. Subhanallah. Hanya membaca, 'alif lam mim' kita mendapat 30 ganjaran kebaikan. Bukankah kita makhluk Allah yang sangat beruntung?

Oleh itu, kita perlu membaca al-Quran dengan tajwid dan sebutan yang betul. Sesungguhnya al-Quran, kalam Allah ini adalah daripada Allah swt. kepada Rasul-Nya. Jika kita tidak dapat membaca al-Quran seperti yang dibaca oleh Nabi Allah Muhammad ketahuilah, kita telah mempelbagaikan bacaan al-Quran itu sendiri. Nauzubillah.
Pada zaman Rasulullah dahulu tidak ada hukum tajwid untuk membaca al-Quran kerana Rasulullah dan para sahabat menggunakan bahasa Arab yang merupakan bahasa al-Quran itu sendiri. Jadi mengapa perlu baca al-Quran dengan tajwid yang betul?

Pada zaman ini, al-Quran dibaca oleh umat manusia Muslim di serata dunia, oleh segenap jenis bangsa yang mempunyai pelbagai bahasa dan loghat yang tersendiri. Oleh sebab itu, tajwid merupakan panduan agar sebutan asli al-Quran oleh Rasulullah kekal sama dan tidak berubah. Kita harus berusaha untuk memperbetulkan bacaan kita. Orang Melayu terutamanya, ramai di kalangan kita yang tidak sedar sebutan makhraj kita, seperti huruf 'ain' dan lain-lain banyak silapnya. Sama-samalah kita perbetulkannya.

Benar, sangat susah untuk mengubah lidah kita yang sudah berpuluh tahun berbahasa Kelantan, dengan loghat Kedah, mahupun dengan dialek yang berbagai-bagai lagi. Tetapi, ingat satu pepatah, "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan". Bergurulah dengan guru yang sebenarnya, perbaikilah bacaan dangan ikhlas, insyAllah pasti Allah akan membuka jalan dan berdoalah semoga dipermudahkan urusan kita dalam memperbetulkan bacaan kita.
Jadi mengapa harus kita membaca al-Quran? Haruslah semata-mata kerana Allah, dan kemudian kerana Rasul-Nya. Tiada alasan dan sebab lain lagi. Ketahuilah, di akhirat kelak, puasa dan al-Quran akan datang kepada kita dengan anggota memberi kesaksian kepada Allah tentang kita. Menjadi penolong buat kita di akhirat kelak di hadapan Allah. Jika kita membaca al-Quran, al-Quran akan menjadi saksi kita yang selalu ada dengannya, begitu juga dengan puasa kita. Allahuakbar.
Maka, hargailah al-Quran, bacalah kalam Allah itu dengan bacaan yang betul. Selagi kita punya kesempatan masa, di dunia yang cukup singkat ini.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Sempurnakah Ramadhan kita Ini






Dalam kesibukkan kita untuk membuat persiapan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi dan ditambah dengan saki baki Ramadhan yang masih tinggal tidak kurang beberapa hari lagi, adakah pernah terdetik di hati kita untuk bertanya sama ada Ramadhan yang telah kita lalui pada tahun ini telah benar-benar mendidik jiwa kita untuk menghadapi 11 bulan yang akan mendatang.

Pernahkah kita tertanya apakah Ramadhan kita telah diterima dan segala dosa-dosa kita telah diampun oleh Allah s.w.t. Dalam pada itu apakah saudaraku sekalian masih mengingati tiga doa yang diaminkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang telah didoakan oleh Jibrail A.S.

Ketika Nabi S.A.W menaiki tiga anak tangga mimbar baginda berhenti di setiap anak tangga dan mengucapkan amin di ketiga-tiga anak tangga tersebut. Para sahabat lalu tertanya-tanya apakah sebenarnya yang telah diaminkan oleh Rasulullah S.A.W. Hal ini telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah katanya :

"Nabi S.A.W menaiki mimbar, kemudian baginda berkata: amin, amin, amin. Ditanya kepada baginda: "Wahai Rasulullah, tuan menaiki mimbar dan mengucapkan amin, amin, amin?" Baginda S.A.W menjawab: "Jibril A.S datang kepadaku, dan berkata: "Sesiapa yang berada dalam bulan Ramadhan, lalu Allah tidak mengampunkan dosanya, dia akan dimasukkan ke dalam Neraka dan akan dijauhkannya, katakan (wahai Muhammad) amin," Lalu aku (Nabi SAW) pun menyebut "amin".

Jibril berkata lagi: "Wahai Muhammad, sesiapa yang memiliki dua orang tuanya atau salah seorang mereka, namun dia tidak berbuat kepada mereka berdua, dia mati, dia akan dimasukkan ke dalam Neraka, dan Allah akan menjauhkannya, katalah amin." Lalu aku pun berkata: "Amin".

Berkata Jibril lagi: "Sesiapa yang mendengar namamu disebut, tetapi dia tidak berselawat kepadamu, dia mati, dia akan dimasukkan ke dalam Neraka, dan Allah akan menjauhkanya, katalah amin." Lalu aku pun menyebut: "Amin."

Salah satu doa yang diaminkan ialah berkenaan sesiapa yang tidak merebut peluang untuk mendapat keampunan Allah S.W.T pada bulan Ramadhan maka dia antara orang yang akan rugi kerana akan dimasukkan ke dalam Neraka Allah S.W.T.
Apakah kita di antara golongan manusia yang telah diberikan peluang untuk berada di dalam bulan Ramadhan yang penuh barakah ini termasuk di dalam doa yang diaminkan oleh baginda S.A.W.

Oleh itu saudaraku sekalian ingatlah doa yang telah diaminkan oleh Rasullulah s.a.w. ini dan rebutlah peluang yang masih berbaki, tidak berapa hari ini untuk mencari keampunan Allah S.W.T. Raya, raya juga, tapi jangan lupa untuk mencari peluang yang masih tinggal. Takut-takut inilah Ramadhan yang terakhir buat kita.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Tuesday, August 23, 2011

Shisha: Apa Hukum Menggunakannya?



بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Penggunaan shisha semakin diminati oleh sebahagian masyarakat kita. Menurut satu catatan sejarah, alat shisha ini telah dicipta di India oleh seorang doktor sebagai satu cara atau alternatif yang dapat mengurangkan bahaya menghisap tembakau. Menurut doktor tersebut, asap tembakau yang disedut itu perlu ditapis terlebih dahulu melalui satu bekas air agar ia tidak mendatangkan bahaya kepada penggunanya. Maka ramailah orang percaya bahawa ia selamat digunakan berbanding dengan menghisap rokok.

Kepercayaan lama ini masih tersebar dan mempengaruhi orang yang baru mengenal atau menggunakannya hinggalah ke hari ini. Namun sejauh manakah kebenaran kepercayaan ini? Adakah kemudharatan menggunakan shisha lebih ringan daripada kemudharatan menghisap tembakau dengan rokok?

Apakah Sebenarnya Shisha Itu?

Shisha (Waterpipe) adalah sejenis alat yang digunakan untuk menghisap tembakau dan bahan-bahan lain seumpamanya. Ia digunakan oleh puak asli di Afrika dan Asia lebih kurang empat
kurun yang lalu. Secara umumnya alat shisha terdiri daripada beberapa bahagian utama iaitu:

(i) Bahagian kepala (head), yang merupakan sebiji mangkuk (yang diperbuat dari tanah liat) untuk meletakkan tembakau dan arang.

(ii) Bahagian badan atau tengah (body), merupakan penghubung antara bahagian kepala dan bahagian bawah dan kebiasaannya ia diperbuat daripada bahan logam ataupun kayu.

(iii) Bahagian bawah yang merupakan sebiji mangkuk air (water bowl/water chamber). Biasanya ia diisikan dengan air tetapi kadang kala ia juga boleh diisikan dengan susu, jus buahbuahan
ataupun wain. Bekas air ini selalunya diperbuat daripada kaca.

(iv) Hos dan alat penyedut (mouthpiece) yang digunakan untuk menyedut asap keluar daripada alat shisha tersebut. Namun begitu terdapat juga beberapa perbezaan dalam reka bentuk shisha ini mengikut tempat serta adat penduduk yang menggunakannya. Sebagai contoh, ada yang mempunyai hos dan alat penyedut yang lebih dari satu dan boleh dikongsi berdua atau lebih dan juga perbezaan pada bentuk dan saiz bahagian kepala atau bekas airnya.

Bahkan nama bagi shisha ini juga berbeza mengikut tempat atau negeri. Misalnya di negeri-negeri di kawasan Mediterranean Timur (Turki, Syria dan lain-lain) ia dikenali dengan nama narghile, di Mesir dan di sesetengah negeri Afrika Utara pula ia dikenali sebagai shisha atau goza dan di India ia dipanggil hookah. Dalam Bahasa Inggeris ianya dipanggil waterpipes tetapi nama shisha lebih dikenali dan sering digunakan.

Jenis Tembakau Shisha

Terdapat dua jenis tembakau shisha iaitu yang dipanggil mu‘assal معسل) ) dan ‘ajami ( عجمي ). Tembakau mu‘assal terdiri daripada campuran tembakau, buah-buahan dan bahan manisan seperti sirap daripada tebu ataupun madu. Ia juga ditambah dengan glycerin, bahan perisa serta pewarna yang lain. Tembakau mu‘assal ini basah dan melekit dan apabila digunakan akan mengeluarkan bau yang manis dan nyaman seperti bau buah-buahan dan kebanyakan pengguna lebih suka menggunakan tembakau jenis ini.

Tembakau ‘ajami pula selalunya tidak berperisa, kering dan lebih asli. Sebelum digunakan ia perlu dicampurkan dengan air sehingga ia boleh dicanai atau dibentuk dan harganya lebih mahal.

Cara Menggunakan Shisha

Cara menggunakannya ialah dengan membakar tembakau shishaitu dengan meletakkan bahan pembakar seperti arang (sama ada arang kayu atau arang campuran) kerana tembakau shisha ini tidak dapat terbakar dengan sendirinya secara berterusan. Kemudian asap tembakau itu disedut dengan menggunakan hos atau alat penyedut.

Tetapi perlu diingat bahawa apabila pengguna menyedut asap daripada alat shisha ini, dia bukan sahaja menyedut asap daripada tembakau tetapi juga asap daripada arang, yang masing-masing
mengandungi bahan kimia dan toksik yang terhasil dari pembakaran tersebut.

Kesan Shisha Menurut Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

Menurut satu dokumen yang bertajuk “Tobacco: Deadly In Any Form or Disguise” yang telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sempena Hari Tanpa Tembakau
Sedunia 2006, bahawa tembakau walau dalam bentuk apa pun tetap boleh mendatangkan bahaya dan mudharat kepada penggunanya, termasuklah shisha.

Ini kerana satu sesi penggunaan shisha (lebih kurang 20-80 minit) akan mendedahkan penggunanya kepada asap yang lebih banyak dalam masa yang lebih lama berbanding daripada sebatang rokok (lebih kurang 5-7 minit), dan asap yang terhasil dari shisha tersebut mengandungi bermacam-macam bahan toksik yang diketahui boleh menyebabkan kanser paru-paru, penyakit jantung dan berbagai jenis penyakit yang lain.

Manakala asap daripada shisha (yang terhasil dari pembakaran tembakau dan arang) mengandungi gas berbahaya seperti karbon monoksida. Selain itu ia juga mengandungi hidrokarbon (benzene dan benzo-pyrene) yang dikatakan bahan penyebab kanser tetapi
kadarnya belum dapat dipastikan.

Dari hasil penyelidikan yang dijalankan, penggunaan shisha juga dikaitkan dengan berbagai penyakit serius seperti penyakit jantung koronari, atherosclerosis, penyakit sistem pernafasan yang kronik, kanser mulut, kanser pundi kencing dan juga saluran darah tersumbat (clogged arteries).

Selain itu penggunaan shisha juga dikaitkan dengan beberapa jenis penyakit berjangkit seperti turberculosis (tibi), hepatitis, herpes, jangkitan virus di bahagian pernafasan dan bahkan juga HIV.

Walaupun kajian mengenai shisha ini belum dilakukan secara intensif sebagaimana yang dilakukan terhadap rokok, namun kajian awal telah menunjukkan bahawa shisha itu boleh membawa risiko dan bahaya yang sama yang disebabkan oleh rokok. Ini adalah berdasarkan kesimpulan yang telah dibuat pihak WHO dan disokong oleh data saintifik, telah menyatakan:
Menggunakan shisha untuk menghisap tembakau boleh menyebabkan bahaya kesihatan yang serius kepada perokok dan juga orang lain yang terdedah kepada asap tembakau tersebut.
Apa yang jelas menurut hasil kajian dan data yang ada mengatakan bahawa shisha boleh membawa risiko dan bahaya yang sama seperti rokok dan ia bukanlah satu alternatif yang selamat bagi rokok. Hakikatnya, walaupun dalam bentuk dan cara yang berbeza menghisap shisha adalah menghisap tembakau dan kajian sains telah membuktikan bahawa tembakau dan pendedahan kepada asapnya boleh menyebabkan bermacam-macam penyakit, bahkan
boleh membawa maut.
Larangan Memudharatkan Atau Membunuh Diri

Agama Islam sebagai ugama sejahtera sangat menghargai nyawa serta kehidupan dan mementingkan kesihatan, keafiatan, kecergasan dan kekuatan, dan kesemuanya itu bagi tujuan yang satu iaitu untuk beribadat kepada Allah Subhanahu Wa Ta‘ala.

Kerana itu Islam melarang umatnya daripada memudharatkan diri mereka sendiri, apatah lagi membunuh diri sendiri. Larangan ini banyak disebutkan dalam ayat-ayat al-Qur’an antaranya firman

Allah Subhanahu Wa Ta‘ala:

Tafsirnya:
“Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri (atau membunuh orang lain). Sesungguhnya Allah Maha Pengasih terhadap kamu.”
(Surah an-Nisa 29)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya:
“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu dengan tangan kamu sendiri ke dalam bahaya kebinasaan.”
(Surah al-Baqarah: 195)

Dalam hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga jelas melarang umatnya daripada membahayakan diri sendiri dan juga orang lain. Sabda Baginda :

Maksudnya:
“Tidak ada kemudharatan dan tidak boleh berbuat kemudharatan.”
(Hadits riwayat Ibnu Majah)

Ayat al-Qur’an dan hadits ini jelas melarang manusia dari membunuh dan memudharatkan dirinya sendiri dan juga orang lain. Kerana seseorang manusia itu tidaklah memiliki dirinya
sendiri sehingga dia boleh sesuka hati melakukan apa sahaja yang dikehendakinya. Bahkan dia adalah milik Allah Subhanahu Wa Ta‘ala. Kehidupannya adalah hak Allah Subahanahu Wa Ta‘ala
kerana Dialah yang mengurniakannya dan Dialah yang berhak ke atasnya. Begitu juga kesihatan seseorang, ia merupakan kurnia dan nikmat Allah kepadanya.

Oleh kerana itu haram seseorang menamatkan riwayat hidupnya sendiri (membunuh diri) dan memudharatkan kesihatannya padahal dia tahu bahayanya, kerana manusia dan kehidupannya adalah milik Allah Subhanahu Wa Ta‘ala.

Tidak ada perbezaan antara orang yang membunuh diri secara mengejut dengan orang yang membunuh diri secara perlahanlahan, seperti dengan memakan racun. Ini kerana kedua-duanya
mempunyai tujuan yang sama, yang berbeza hanyalah segera ataupun lambat. Tetapi natijahnya adalah sama iaitu memudharatkan atau menyebabkan kematian. Kedua-dua cara ini
sama tertegahnya di sisi Allah Subhanahu Wa Ta‘ala.

Untuk memelihara kesejahteraan umatnya, Islam juga telah menetapkan beberapa kaedah bagi menolak bahaya dan kemudharatan, antara kaedah yang digunakan para ulama dalam
menentukannya ialah :

Ertinya:
“Kemudharatan itu dihilangkan (dihindarkan).”

Maka jika sesuatu benda itu sabit mendatangkan mudharat, kerosakan dan kebinasaan, hendaklah ia dijauhi dan dihindari. Memakan, meminum dan juga menghisap benda-benda yang
memudharatkan hendaklah dielakkan bahkan ia dihukumkan haram. Tidak kira sama ada bahaya atau mudharat tersebut datang secara perlahan-lahan atau serta merta, kerana para ulama telah mengatakan bahawa bahaya secara perlahan-lahan juga adalah sama dengan bahaya yang serta merta, kedua-duanya perlu dielakkan.

Jika dilihat berdasarkan hasil kajian yang ada setakat ini menyatakan bahawa shisha itu boleh membayahakan kesihatan sebagaimana rokok, maka ia adalah haram. Kerana apabila syara‘
mengharamkan al-khaba’its (benda-benda yang keji, jijik, buruk dan seumpamanya) atau perkara yang merbahaya atau memudharatkan, ia adalah berdasarkan kaedah:
“Apa jugamakanan atau minuman yang mengandungi unsur-unsur alkhaba’its adalah haram.”
Yang mana kaedah ini didasarkan kepada ayat-ayat al-Qur’an serta hadis di atas. Maka apabila shisha itu memudharatkan, dan setiap yang memudharatkan itu haram dimakan atau diminum, maka menghisap tembakau menggunakan shisha itu juga adalah haram.

Menyentuh mengenai perkara memakan dan meminum benda yang memudharatkan dan merosakkan tubuh badan, dalam al-Qur’an Allah Subhanahu Wa Ta‘ala telah menerangkannya dengan terang dalam firmanNya:

Tafsirnya:
“Dan Dia menghalalkan bagi mereka yang baik-baik dan mengharamkan ke atas mereka (segala) yang buruk.”
(Surah al-A‘raf 157)

Antara maksud atau huraian perkataan al-khaba’its ialah sesuatu yang menjadi sebab kerosakan dan bahaya kepada tubuh badan atau dari sumber-sumber yang memudharatkan. Walaupun perkataan al-khaba’its dalam ayat ini ditujukan kepada (memakan) daging babi dan riba, namun menurut al-Imam Fakhruddin ar-Razi Rahimahullahu Ta‘ala ketika mengulas ayat di
atas adalah seperti berikut:

Ertinya:
Mengikut pendapatku: Setiap benda yang dipandang jijik oleh tabiat (tabiat semula jadi) dan dianggap kotor oleh jiwa, adalah memakannya boleh menyebabkan timbul kesakitan atau kemudharatan. Dan asal (dasar) hukum segala yang memudharatkan itu haram. Oleh yang demikian, maka asal (dasar) hukum setiap benda yang dipandang jijik oleh tabiat juga adalah haram, melainkan benda-benda yang mempunyai bukti untuk dikecualikan.”

Hukum Penggunaan Shisha

Berdasarkan hasil kajian dan penyelidikan awal mengenai shisha, menunjukkan bahawa ia boleh membawa risiko dan bahaya yang sama seperti rokok, bahkan ia juga dikatakan boleh menyebabkan penyakit yang sama yang berkaitan dengan menghisap rokok. Walaupun kajian yang lebih terperinci masih dijalankan dan belum ada keputusannya, namun hasil keputusan itu nanti tidak mungkin menyatakan bahawa shisha itu selamat digunakan dan tidak membahayakan kesihatan kerana menurut kajian awal (preliminary research) sahaja telah menunjukkan bahayanya terhadap kesihatan.

Maka jelaslah bahawa menghisap tembakau menggunakan shisha membawa bahaya kepada kesihatan dan boleh menyebabkan berbagai penyakit, maka hukum menghisapnya adalah haram. Ini kerana sebagaimana yang telah dihuraikan sebelum ini, setiap yang boleh memudaratkan atau mendatangkan bahaya, tidak kira secara perlahan atau serta merta, hukumnya adalah haram.

Sumber : Mufti Brunei
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Indahnya Cinta selepas Bernikah



              Setelah sekian lama hidup dibelenggu rasa cinta nafsu, hidup sebagai remaja yang tidak ada hala tuju matlamat kehidupan. Saya disedarkan oleh Allah S.W.T dengan hidayah dan limpahan kasih-Nya.
Syukur kehadrat Allah Taala yang selalu mencintai kita dan mengasihi kita. Indahnya juga hidup yang penuh dengan syariat dan landasan hukum dan garisan keimanan. Entah bagaimana lagaknya hidup ini jika terus dilimpahi nafsu yang tidak berkesudahan.
Lumrah kehidupan ingin berkasih sayang. Lumrah sebagai remaja ingin ada pendamping. Tanyalah kepada siapapun, remaja utamanya, apa erti cinta?
Bagi mereka, cinta itu indah. Cinta itu lazat. Pelbagai tafsiran tentang cinta jika ditanya kepada para remaja di luar sana. Begitu da'if pendapat mereka tentang cinta. Saya, salah seorang daripada pencinta yang suatu ketika dahulu hanya memikirkan tentang keseronokan, kesunyian, hiburan dan teman-teman. Tidak ada cinta bersandarkan agama dalam jiwa. Jauh sekali mengingati dengan Dia yang memberikan rasa cinta itu.
Bukan mudah menerima tamparan dalam hidup bagi remaja yang putus cinta. Rasa mahu bunuh diri, menjauhkan diri dari kelompok manusia lain, sehingga terfikir mahu membunuh seseorang!

Inilah penyakit nafsu dan derita hati. Hati dan nafsu tidak bersandarkan akal. Allah S.W.T telah memberikan kita akal, iaitu salah satu kelebihan yang tidak ada pada hidupan lain. Sebagai manusia, kita sepatutnya menggunakan akal 100% dalam kehidupan. Allah S.W.T berfirman :



"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan (pada) pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang yang berakal."  
[Surah Ali 'Imran 3 : 190]

Saya sudah bernikah dengan seorang lelaki yang tidak saya kenali. Setelah putus cinta dengan lelaki yang dahulunya amat saya cintai (cinta yang tidak berlandaskan agama Allah). Saya membuat keputusan untuk bernikah kerana akal. Setelah berfikir dan menganalisis segala dosa dan kesalahan yang pernah saya lakukan, saya menunaikan umrah pada usia yang muda (25 tahun) dan pada waktu itu, tidak ada lain melainkan saya mencari reda Allah S.W.T dalam cinta yang terlalu saya inginkan. Setelah menunaikan solat hajat beberapa malam berturut-turut dan saya membaca Surah Yaasin beberapa malam berturut-turut (atas nasihat seorang ustaz di kampung halaman, imam masjid yang juga sahabat baik ayahanda tercinta).
Hakikatnya, segala yang kita inginkan dalam dunia ciptaan-Nya ini perlu kita mohon daripada-Nya. Tidak ada kuasa lain yang Maha Memberi kecuali Dia. Saya berdoa bersungguh-sungguh, memohon sebuah cinta yang suci dan tidak berlandaskan nafsu. Kuasa Allah Taala tidak siapa yang tahu.
Saya berkenalan dengan seorang lelaki yang sedang menyambung pelajaran di Australia. Setelah tiga hari berbalas mesej, mesej yang hanya bertanya khabar dan bertanya tentang kerja-kerja dan pelajaran, timbul persoalan tentang perkahwinan. Jawab saya, hanya bonda dan ayahanda bisa menjawab tentang pernikahan. Lalu, dihantar kedua ibu dan bapanya merisik pada Jun 2010. Maka termetrailah ikatan janji pernikahan Disember 2010.
Sekelip mata, zat Yang Esa sangat saya kagumi. Tidak pernah terlintas dalam hati ingin bernikah dengan seorang lelaki yang tidak dikenali. Dalam hati berniat, biarlah jalinan cinta terukir setelah ijab dan qabul diucap dan dibalas.
Tidak terkata betapa cerianya saya ketika hari berlangsungnya pernikahan. Tidak sedikitpun hati berdetak ragu dengan cinta dan kasih pemberian Allah Taala ini. Hakikatnya, cinta suci dan halal ini lebih indah untuk kita kecapi.
Saya sebagai insan yang lemah, pernah melakukan dosa dan diri masih dihinggapi noda silam. Saya ingin menyeru kepada semua remaja yang masih belum ada pasangan halal, ketahuilah, cinta sebelum bernikah, yang melanggar prinsip Allah S.W.T, merupakan jalan hidup yang sia-sia.
Tidak ada konsep cinta kekasih dalam Islam. Jika sahabat-sahabat sekalian seorang yang sangat beriman, dan dapat menjaga batas dalam pergaulan cinta lelaki dan perempuan, tahniah saya ucapkan! Jangan sekali-kali mendekati zina! Biarpun zina hati!
Jika tidak mampu mengikut sunnah dan ajaran Islam dalam memupuk cinta, berhentilahdaripada menjalin cinta yang membawa dosa dan noda. Katahuilah, jodoh itu ada dalam tangan Allah S.W.T. Berdoalah, kerana doa itu senjata terakhir untuk mengubah takdir dan haluan hidup kecuali satu, iaitu mati.
Percayalah, cinta suci yang sepatutnya kita agungkan selain cinta Allah dan Rasul adalah cinta suami. Ia merupakan cinta agung buat semua wanita dan gadis. Tidak ada dosa, tidak ada haram dalam cinta itu selagi menjadi isteri yang solehah.
Sentuhlah tangannya, Pahala. Ciumlah pipinya, Pahala. Layani kehendaknya, Pahala. Ucapkan kata rindu dan kasih diiringi senyuman mesra, Pahala. Berlembut suara bermanja, Pahala!  Apa lagi yang ingin kita cari dalam dunia yang semakin uzur ini, wahai sahabatku, para solehah di luar sana? Bukankah pahala yang kita kejar? Bukankah Syurga matlamat kita?
Tidak ada lain melainkan menjadi isteri yang sangat bahagia, itu idaman setiap insan. Bagi teruna soleh, gadis impian yang bakal menjadi suri hidup mereka, menjadi bidadari dalam setiap hembusan nafas zikrullah, subhanallah!
Carilah cinta suci dan cinta agung. Jauhilah cinta nafsu, sesungguhnya cinta nafsu itu melahirkan penzina. Ketahuilah, balasan Allah sangat dahsyat bagi dosa penzina.


"Sesungguhnya Jahannam itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman. Dan orang-orang yang apabila membelanjakan(harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah(pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian. Dan orang-orang yang tidak menyembah Tuhan yang lain beserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan(alasan) yang benar, dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan yang demikian itu, nescaya dia mendapat (pembalasan) dosa(nya), (yakni)akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina."  
(Surah al-Furqaan : 66-69).

Dan kini, saya bahagia bercinta kali pertama setelah menjadi isteri kepada suami yang sangat memahami. Cinta suci yang kami bina bermatlamatkan Syurga. Indahnya bercinta selepas pernikahan. Segala yang dilakukan menjadi halal bagi kami dan pahala buat bekalan di'sana' nanti. Syukur, sujud dan doa telah Allah kabulkan. Kuasa Allah S.W.T tidak dapat dilawan. Bercintalah, bercintalah, bercintalah! Bercintalah kerana Allah!
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
IMAM MUDA QARYAH
IIkhlas
MMesra
AAmanah
MMenawan
MManis
UUntung
DDinamik
AAlim
QQualiti
AAbadi
RRamah
YYakin
AAsli
HHarum
Cari MAKNA Nama ANDA?