Wednesday, September 28, 2011

Air mata yang tidak kekal abadi



Senyum. Bahagia. Tenang.
Ke mana perginya hari-hari gelap itu? Hilangnya tidak disedari. Lesapnya tidak mengesankan lagi.
Alhamdulillah. Akhirnya, detik-detik hitam itu sudah berlalu.
Pasti. Semua orang pastinya pernah diuji dengan pelbagai jenis dugaan. Semua tak terkecuali.
Namun, tanda perhatian dan kasih sayang Allah pada hamba-hamba-Nya ini seringkali disalah tafsirkan sebagai kemusnahan, disalah ertikan sebagai perhentian terakhir hidup bagi mereka yang lemah akal dan jiwanya.
Tidak, aku tidak akan sekali-kali menyalahkan mereka. Kelemahan adalah sebahagian 'anggota' manusia, ketidaksempurnaan pula ada 'nama timangan' mereka.
Dulu, ada satu kisah tentang rama-rama. Sering aku kisahkan cerita ini pada mereka yang dirundum kesedihan.
Dengan kisah ini jualah, terselit sekelumit harapan untuk menyisip secebis kekuatan buat mereka yang lemah.
Memang, aku tidak mampu menyanyikan lagu 'Semangat Yang Hilang' untuk mengobarkan kembali semangat mereka, aku juga tidak dapat memberi preskripsi ubat untuk menghilangkan ingatan-ingatan buruk itu, malah aku tidak akan mungkin punya kuasa ajaib untuk mengubah takdir jika bukan diri mereka sendiri yang ingin bangkit mengubah segalanya.
Rama-rama bagiku cukup simbolik. Ia lambang perjuangan hidup. Ia terbang mengibarkan kepak warna-warninya yang indah dan memukau setiap mata yang memandang.
Namun, dulunya rama-rama ini tak lebih dari seekor beluncas.
Ya, seekor beluncas yang dibenci, dianggap perosak dan sering dijauhi.
Namun, kemudian berubah menjadi kepompong sebelum bertransformasi menjadi seekor rama-rama yang cantik.

Kisah rama-rama ini kisah benar, bukan rekayasa atau hikayat dongeng penuh fantasi tetapi lebih kepada teori logik, sebuah cerita saintifik.
Pernah, terdapat sekumpulan saintis sedang membuat kajian terhadap rama-rama. Mereka memerhatikan dengan teliti proses bagaimana seekor rama-rama keluar dari kepompongnya.
Ia kelihatan seperti kepayahan, terseksa untuk mengeluarkan diri.
Berjam-jam lamanya, rama-rama ini mencuba, mencuba, dan terus mencuba untuk keluar dari kepompong yang kecil itu.


Akhirnya, ia berhasil. Rama-rama ini pun terbang ke sana dan ke mari seolah-olah meraikan kebebasannya.
Saintis-saintis muda ini kemudian beralih kepada rama-rama yang lain.
Mereka sepakat untuk membantu mengeluarkan rama-rama ini dari kepompongnya dengan menggunting kepompong tersebut.
Rama-rama ini berhasil 'di'keluarkan dengan mudahnya.
Namun, tahukah kamu apa yang terjadi dengan rama-rama ini?
Tidak, ia tidak mati. Ia masih hidup, ia meneruskan hidupnya dalam keadaan cacat seumur hidup.
Ia tidak berupaya untuk terbang, tidak akan pernah mampu terbang seperti layaknya. Bukankah ini lebih malang?
Ternyata, segala kesukaran serta kepayahan ketika berusaha keluar dari kepompong itulah yang memberi kekuatan bagi seekor rama-rama untuk terbang.
Hakikatnya, apa yang tidak membunuh kita itulah yang melangsungkan kehidupan ini. Kita tidak akan kenal bahagia sebelum melalui sengsara, tidak kenal cinta sebelum faham erti benci, tidak menghargai senyuman tanpa air mata pedih.

Kitaran hidup ini perlu didalami, jatuh bangunnya, turun naiknya, takdir dan karma. Tentu, kata–kata ini sering kita dengar di mana-mana, "setiap yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya".
Ini bukan kata-kata kosong yang palsu. Bukan. Tetapi, jangan pula tanyakan padaku, bila dan bagaimana?
Tetapi bersabarlah. Airmata tidak abadi, kering suatu masa nanti. Percayalah, keajaiban itu pasti ada.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan setiap yang berlaku.



Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Iri Hati dan Hasad Dengki


"Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Kerana) bagi orang lelaki ada bahagian dari pada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebagian dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu" 
(An-Nisa' : 32)


Umumnya semua kita punya sifat ini, cuma bergantung kepada kekuatan diri untuk mengawalnya. Ada yang tidak mempedulikannya. Ada yang mengikutinya hingga menggadaikan maruah diri dan orang sekitarnya. Kita seringkali lupa bagaimana Allah mendidik kita supaya sentiasa meminta kepadaNya.
Tentulah Allah lebih tahu apa yang ingin dipinta kerana sifatNya yang maha mengetahui. Namun kita tetap disuruh meminta untuk menunjukkan pegabdian diri kepada Allah selaku pencipta yang tahu kebaikan untuk ciptaanNya. Jika kita tidak meminta, hanya kitalah yang rugi dan kecewa.
Akibatnya kita akan menyalahkan kelemahan diri kerana sikap pesimis (rendah hati) yang keterlaluan dan menurunkan keazaman untuk terus berjaya. Jika kita benar beriman, pastinya Allah menguji kita tanda Dia sedang melihat keazaman kita menerima takdir dan kekuasaanNya sebagai penentu segala-galanya. Yakinlah dengan setiap doa yang dipinta. Bersangka baiklah dengan Allah.



Iri Hati Itu Boleh.

Irihati tu boleh, jika kita iri hati melihat orang lain lebih banyak ibadahnya dari kita. Jika kita lihat orang lain lebih baik amalannya dari kita. Jika kita lihat orang lain lebih rajin dari kita. Seterusnya menaikkan semangat kita untuk melakukan seperti mereka.
Berazam untuk beribadah, beramal dan bekerja dengan lebih. Melebihi orang lain, ini iri hati yang baik. Iri hatilah kepada para ilmuan Islam yang telah banyak menyumbangkan buah fikiran dan gerak kerja Dakwah yang belum mampu kita laksanakan.

Iri Hati Bertukar Hasad Dengki dan Mendengki.

Hasad dengki muncul akibat bisikan syaitan yang menghembus ke benak hati untuk melakukan sesuatu kezaliman orang lain, menggunakan cara kotor untuk menjatuhkan orang dan berasa puas dengan taktik tersebut. Inilah yang minta dilindungi kepada Allah dari perasaan manusia yang hatinya busuk dan sentiasa memikirkan cara untuk naik ke atas dan memijak orang lain dengan bangganya.

Yakinlah Dengan Keadilan Allah.

Allah menciptakan kita dengan pelbagai kelebihan. Masing-masing punya kelebihan yang tidak dimiliki oleh sebahagian yang lain. Tidak lain dan tidak bukan adalah untuk melengkapkan sesama manusia. Kerana kita semuanya memerlukan antara satu sama lain.
Jika kawan kita pemarah, ada yang boleh sabarkannnya, jika kita pemboros, ada yang boleh mengawalnya, jika kita pemalas, ada yang akan menegur supaya jadi rajin. Jika kita tidak tahu, ada yang akan beritahu. Jika kita tahu, kitalah yang kena beritahu yang tak tahu.
Inilah bukti adilnya Allah menciptakan makhluknya yang sentiasa memerlukan dan tidak boleh hidup sendiri. Maka kita semua perlu saling menghormati kerana tidak satu pun di kalangan kita boleh hidup sendiri. Kita saling memerlukan. Aku memerlukan kamu. Dan kamu memerlukan aku.




Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Tuesday, September 27, 2011

Hijrah



Mu’awiyah menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda:

لا تنقطع الهجرة حتى تنقطع التوبة ولا تنقطع التوبة حتى تطلع الشمس من مغربها
(
سنن أبي داود)

“Hijrah tidak akan berakhir hinggalah (pintu) taubat ditutup.
Pintu taubat tidak ditutup hinggalah matahari terbit dari sebelah Barat.”

Baginda menjelaskan lagi :

"
المسلم من سلم المسلمون من لسانه ويده، والمهاجر من هجر ما نهى الله عنه"
“Orang muslim ialah orang yang tidak menggugat (mencerca) orang muslim yang lain dengan tangan dan lidahnya. Manakala orang yang berhijrah “Muhajir” ialah orang berhijrah meninggalkan larangan Allah.”



Penerangan Hadis:

   Hadith hadith di atas menjelaskan beberapa makna “Hijrah”.
Dari sudut bahasa ia bermakna perbuatan menjauhi orang lain secara fizikal atau melalui lidah dan hati. Manakala dari sudut syara’ ia bermakna meninggalkan negara kufur, atau menghindari orang jahat, meninggalkan perbuatan dan sifat sifat yang tercela.

Hijrah pernah menjadi amalan nabi Ibrahim a.s. Beliau bermadah ;seperti yang diterangkan dalam al-Quran Surah al Saffat ayat 99:

إِنِّي ذَاهِبٌ إِلَى رَبِّي سَيَهْدِينِ

Ia juga merupakan syariat nabi Muhammad. Baginda telah memerintahkan sahabat baginda berhijrah ke Habasyah apabila gugatan musuh-musuh mereka semakin sengit . Tapi baginda terus berdakwah dan bermunajat kepada Allah agar sentiasa diberi hidayah dan taufiq dalam dakwah . Ketika baginda berhijrah ke Madinah baginda tidak berhenti-henti berdoa; seperti yang dirakamkan oleh al-Quran dalam Surah al Isra’ ayat 80 :
رَّبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ وَاجْعَل لِّي مِن لَّدُنكَ سُلْطَاناً نَّصِيراً

“Hai Tuhanku dudukkanlah diriku dalam kedudukan yang benar dan keluarkan diriku dengan cara yang benar dan kurniakanlah kepadaku kuasa dari sisiMu yang serba membantu.”

Dalam peringkat awal hijrah bersama Rasulullah ke Madinah adalah wajib . Mereka yang tidak ikut berhijrah pada hal dia mampu akan menanggong dosa besar. Allah berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلآئِكَةُ ظَالِمِي أَنْفُسِهِمْ قَالُواْ فِيمَ كُنتُمْ قَالُواْ كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِي الأَرْضِ قَالْوَاْ أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ اللّهِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُواْ فِيهَا فَأُوْلَـئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَسَاءتْ مَصِيراً إِلاَّ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاء وَالْوِلْدَانِ لاَ يَسْتَطِيعُونَ حِيلَةً وَلاَ يَهْتَدُونَ سَبِيلاً فَأُوْلَـئِكَ عَسَى اللّهُ أَن يَعْفُوَ عَنْهُمْ وَكَانَ اللّهُ عَفُوّاً غَفُوراً

(Surah al Nisa:97-99)

“ Orang-orang yang diwafatkan oleh Malaikat dalam kaadaan menganiaya diri ditanya (Malaikat) “Apa gerangan hal saudara . Mereka menjawab: Kami adalah kumpulan yang tertindas di dunia. Malaikat berkata: Bukankah bumi Allah luas untuk kalian berhijrah di pulusuknya. Golongan tersebut tempat penghunian mereka ialah di neraka dan itulah tempat yang paling buruk untuk dihuni. Kecuali golongan tertindas ; lelaki, perempuan dan kanak-kanak yang tidak berdaya dan tidak menemui cara atau jalan (untuk berhijrah) maka mudah-mudahan Allah mengampuni mereka. Memang Allah maha pemaaf dan maha pengampun .”

Pahala berhijrah amat besar dan ini dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran:

وَمَن يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللّهِ يَجِدْ فِي الأَرْضِ مُرَاغَماً كَثِيراً وَسَعَةً
[
النساء:10

“Mereka yang berhijrah di jalan Allah pasti akan bertemu dengan banyak pintu rezki (yang terdedah) dan kelapangan hidup.”

Allah berfirman lagi dalam Surah al Nahl ayat 41-42 :

وَالَّذِينَ هَاجَرُواْ فِي اللّهِ مِن بَعْدِ مَا ظُلِمُواْ لَنُبَوِّئَنَّهُمْ فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَلَأَجْرُ الآخِرَةِ أَكْبَرُ لَوْ كَانُواْ يَعْلَمُونَ الَّذِينَ صَبَرُواْ وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

“Orang-orang yang berhijrah kerana Allah selepas teraniaya akan Kami tempatkan mereka di dunia pada tempat yang baik. Akan tetapi ganjaran akhirat jauh lebih besar ; kalau mereka sedar. Iaitu terhadap orang-orang yang sabar dan bertawakkal kepada Tuhan mereka.”


Akan tetapi setelah kota Mekah dapat dibuka maka tidak timbul lagi gesaan untuk berhijrah meninggalkannya. Sebab itu Rasulullah bersabda:

:" لا هجرة بعد الفتح ولكن جهاد ونيّة، وإذا استنفرتم فانفروا "

“Tidak ada lagi hijrah selepas kota Mekah di buka. (Sebaliknya) yang ada ialah jihad dan niat (yang baik). Seandainya kalian dikerah pergi berjuang maka ayuh berangkatlah.”

Hijrah yang dinafikan ialah hijrah wajib manakala hijrah yang harus atau sunat tetap wujud sampai hari kiamat; selama mana perjuangan menentang kejahatan dan kekufuran berterusan.
.
Hijrah juga bermaksud usaha membentuk negara Islam yang pertama; negara yang adil dan menjamin hak asasi manusia. Hijrah juga bermakna suatu usaha yang berterusan untuk memperbaiki diri dan masyarakat; melakukan reformasi untuk merubah ketidakadilan dan suasana yang bobrok serta kejahatan golongan tirani dalam masyarakat
.Hijrah meninggalkan kekufuran , syirik, sifat munafiq dan berbagai kejahatan lain ditegaskan oleh Allah dalam Surah al Muddaththir ayat 5:

وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ

“Manakala kejahatan tinggalkanlah.”

Umat Islam memang perlu berhijrah merealisasi cita-cita lohor baginda Rasulullah untuk membasmi kejahatan dan kemungkaran sempena mengingati hijrah dan merayakan ulang tahun Hijrah. Mereka tidak sepatutnya menghabiskan masa dan wang dengan sambutan-sambutan kosong yang tidak diikuti dengan usaha yang bersungguh-sungguh untuk merubah kaadaan, dan menobatkan Islam. 




Riwayat: Kitab-Kitab rujukan   

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
IMAM MUDA QARYAH
IIkhlas
MMesra
AAmanah
MMenawan
MManis
UUntung
DDinamik
AAlim
QQualiti
AAbadi
RRamah
YYakin
AAsli
HHarum
Cari MAKNA Nama ANDA?