Wednesday, May 16, 2012

sedikit cetusan dari Mutiara Khalifah



"Setiap orang yang musafir mesti memperlengkapi bekalannya. Siapkanlah taqwa dalam perjalanan kamu dari dunia menuju akhirat. Pastikan dirimu sama ada mendapat pahala atau siksa, senang atau susah."
"Jangan biarkan masa berlalu sehingga hatimu menjadi keras dan musuh sempat mengoda. Sebaik-baiknya saudara menganggap bahawa hidup pada petang hari tidak akan sampai ke pagi hari dan hidup pada pagi  hari tidak akan sampai ke petang hari. Memang tidak jarang terjadi kematian di tengah-tengahnya."
"Saudara-saudara dapat menyaksikan sendiri bahawa ramai orang yang tertipu dengan dunia, padahal orang yang layak bergembira tidak lain kecuali orang yang selamat daripada siksaan Allah SWT dan orang yang lepas dari tragedi hari qiamat."
"Sementara orang yang tidak mahu mengubati yang sudah luka, kemudian datang lagi penyakit lain, bagaimana mungkin mahu bergembira? Aku berlindung kepada Allah SWT daripada perbuatan yang tidak aku pegangi dan amalkan sendiri. Seandainya begitu, alangkah rugi dan tercelanya aku. Dan jelaslah tempatku nanti pada hari yang jelas kelihatan siapa yang kaya dan siapa yang miskin."
"Di sana nanti akan diadakan timbangan amal serta manusia akan diserahi tanggungjawab yang berat. Seandainya tugas itu dipikul oleh binatang-binatang nescaya ia akan hancur, jika dipikul oleh gunung nescaya ia akan runtuh, kalau dipikul oleh bumi nescaya bumi akan retak. Saudara-saudara belum tahu bahawa tiada tempat di antara Syurga dan Neraka? Kamu akan memasuki salah satu daripadanya."
"Ada seorang lelaki yang mengirim surat kepada rakannya yang isinya :
"Sesungguhnya dunia ini adalah tempat bermimpi dan akhirat barulah terjaga."
"Jarak pemisah antara keduanya adalah mati. Jadi, kita sekarang sedang bermimpi yang panjang."
Kata-kata di atas adalah kata-kata Khalifah Umar bin Abdul Aziz, khalifah Bani Umayyah ke-6.


Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

jom kita berselawat bersama-sama????




Nabi s.a.w bersabda: "Orang yang lebih berhak mendapat syafaatku pada hari kiamat ialah oarang yang lebih banyak selawatnya kepadaku."
(Riwayat Ibn Mas'ud r.a)

Kelebihan Berselawat

Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesiapa yang berselawat kepadaku dengan sesuatu selawat, sentiasalah Malaikat berdoa untuknya selama ia berselawat kepadaku; oleh itu terpulanglah kepada seseorang sama ada ia hendak berselawat sedikit atau banyak."
 (Amir bin Rabiah r.a)
Kedudukan selawat ke atas nabi (S.A.W.) ini merupakan perkara yang diwajibkan menurut sebilangan besar ulama'. Malahan dinukilkan bahawa Al-Imam Al-Qurthubi menyatakannya sebagai ijma' ulama'. Apa yang diperselisihkan oleh ulama' ialah adakah selawat itu wajib pada setiap kali majlis dan disebut nama Nabi Muhammad (S.A.W.) atau adakah ianya sunat (bagi yang bersepakat menyatakan ianya wajib seumur hidup).
Dalam hal ini, sebahagian ulama' menyatakan ianya wajib setiap kali disebut nama Rasulullah (S.A.W.), dan sebahagian yang lain menyatakan wajib sekali di sepanjang majlis meskipun dalam majlis tersebut kerap kali disebut nama Rasulullah (S.A.W.) dan sebahagian yang lain menyatakan wajib memperbanyakkan selawat tanpa terikat dengan bilangan dan tidak memadai sekali seumur hidup.
Nabi s.a.w bersabda: "Apabila tiba hari Jumaat, ada pada tiap-tiap pintu masjid - Malaikat yang ditugaskan menulis orang yang datang sembahyang Jumaat seorang demi seorang; kemudian apabila imam duduk di atas mimbar, Malaikat-malaikat itu melipat lembaran-lembaran surat yang ditulisnya serta mereka datang mendengar khutbah." 
(Abu Hurairah r.a)
Menurut jumhur ulama dalam masalah ini, selawat ke atas nabi (S.A.W.) merupakan ibadat dan jalan mendekatkan diri kepada Allah (s.w.t). Seperti juga zikir, tasbih dan tahmid. Ia diwajibkan sekali seumur hidup dan disunatkan pada setiap waktu dan ketika. Sepatutnya juga ke atas setiap muslim memperbanyakkannya.
Berkait juga dengan soalan yang dikemukakan, iaitu tentang hukum selawat dalam sembahyang. Perkara ini berlaku khilaf di kalangan ulama'. Menurut pandangan Mazhab Syafei dan Hanbali, selawat diwajibkan dalam sembahyang dan tidak sah sembahyang tanpa selawat. Manakala dalam Mazhab Maliki dan Hanafi, selawat merupakan perkara yang sunat muakkad dan sah sembahyang tanpanya tetapi dalam keadaan yang makruh.


Nabi s.a.w bersabda: "Malaikat yang di sebelah kanan (yang menjadi penulis kebaikan) ialah ketua kepada yang di sebelah kiri; maka apabila seseorang melakukan sesuatu kebaikan, dituliskan baginya kebaikan itu menjadi sama dengan sepuluh kebaikan yang tersebut, dan apabila ia melakukan sesuatu kejahatan, lalu Malaikat yang di sebelah kiri hendak menulisnya, berkatalah Malaikat yang disebelah kanan: "Tunggu dahulu;" lalu ia menunggu selama enam atau tujuh jam; kemudian jika orang itu beristighfar dari perbuatan jahat itu, tidaklah dituliskan sesuatu pun; dan jika ia tidak meminta ampun kepada Allah Taala, dituliskan baginya satu kejahatan sahaja."

(Abu Umamah r.a)



Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Tuesday, February 28, 2012

Berfikiran Positif Dan Optimis adalah kunci Kejayaan


Dunia seakan-akan gelap. Seolahnya tiada lagi cahaya yang menyuluh. Apakah ini pengakhiran yang kita mahukan?
Kejayaan adalah memaksimumkan potensi kita untuk merealisasikan matlamat utama kita dalam perjalanan hidup. Semua insan pernah gagal. Kerana gagal adalah guru.
Apabila kita berusaha untuk mencapai sesuatu, kita berjaya kerana kita tahu cara untuk mencapai matlamat kita. 
Bijak pandai pernah berkata,
"Sama ada kita menjadi abu atau menjadi seekor merak, ia terpulang pada diri kita sendiri."
Sebenarnya, hidup kita bukan sekadar bergantung pada setiap apa yang berlaku pada kita dan sekeliling, tetapi ia lebih kepada bagaimana kita memberi tindak balas terhadap apa yang berlaku.
Sayangi diri.
Buatlah sesuatu demi kebaikannya dan yang memberi manfaat buatnya.
Ia bukan bermakna pergi spa 30 hari sebulan, tetapi lebih dari itu.
Kisah Guru Dan Murid
Seorang guru pernah bertanya pada anak muridnya, "Adakah kamu semua menyayangi diri sendiri?"
Dan para murid menjawab, "Ya! Kami sayang diri kami!"
Ujar guru itu, "Bagaimana cara kamu semua menyayangi diri sendiri?"
"Belajar sungguh-sungguh!"
"Jaga hati!"
"Pakai topi keledar!''
Maka kata si guru,
"Benar. Tetapi ia lebih dari itu. Terimalah diri kamu, tiada manusia yang sempurna. Hormatlah maruah kamu, ia tidak pernah meminta untuk diragut melainkan kamu yang membiarkannya. Berikan galakan kepada diri kamu, galakan orang lain tidak cukup buatmu. Rancangkan kejayaan buat diri kamu, jangan biar diri kamu gagal kerana kegagalan yang diterima."
Boleh menangis, menyesal, menjerit sekuat mungkin kerana meratapi kegagalan yang diterima. Tetapi pada esok hari, kamu harus bangun tidur dengan segar dan hilangkan segala kesedihan.
Kenapa? WHY??
Kerana berabad-abad sekalipun tangisan dan kekecewaan ia tidak akan merubah apa-apa. Ambil separuh untuk dijadikan iktibar dan ambil separuh untuk dijadikan pendorong.
Kisah Lelaki dan Jadual Penerbangannya
Seorang lelaki mengejar penerbangannya, saat tiba di lapangan terbang, penerbangannya terpaksa dilewatkan kerana kerosakan pada bahagian tertentu. Tetapi dia tidak marah. Katanya, "Bagus!"
Maka orang di sekelilingnya hairan. Bukankah sepatutnya lelaki itu marah.
"Mereka mengambil berat akan keselamatan kita. Bukankah ia bagus?"
"Tetapi.. sukarlah untuk kita mendapatkan penerbangan berikutnya. Kerana kita terpaksa menunggu dengan begitu lama. Sedangkan sekarang kita sedang mengejar masa!"
"Bagus!"
Dan orang di sekelilingnya bertambah hairan.
"Kenapa bagus?".
"Kerana saya dan semua orang dapat bersantai-santai terlebih dahulu. Cuaca di luar sana sangat tidak menyenangkan. Sedangkan kita di sini berada dalam keadaan nyaman dan selesa. Terdapat beberapa buah kusyen empuk di hujung kaunter. Terdapat makanan dan kopi panas di kafeteria. Jadi saya akan memanfaatkan peluang ini, kerana saya sering tidak cukup masa selama ini. Sekarang saya dapat membaca majalah kegemaran saya terlebih dahulu."
Dan orang sekelilingnya merasa kagum dengan lelaki itu. Seraya berkata, "Hebat!"
Itulah dia. Tabiatnya yang positif akan mempengaruhi kelakuan, kata-kata dan pastinya keputusan. Ia memberitahu dunia bahawa sikap positif penting dalam kehidupan. Apa sekali pun tujuan kita, fikir positif. Sentiasa positif dan optimis!
Saya tertarik dengan kata-kata Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari yang terdapat dalam sebuah buku motivasi "Menuju Kejayaan."
"Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok bukan lebai pondok. Tapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu, saya terus minta dari Tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju biarlah padan dengan badan. Jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah."


Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Saturday, February 4, 2012

Ayuh bangunlah bantu kaum Adam wahai Kaum Hawa



Seindah hiasan dunia,
Ialah wanita solehah.. Yang menjadi perhiasan dunia..
Yang dijaga baik..
Yang sentiasa disembunyikan
Supaya harga (maruahnya) sentiasa bernilai tinggi
Tidak semua lelaki ajnabi akan dapat melihatnya
Hanya benar-benar layak sahaja dapat memiliki perhiasan ini
Kerana ALLAH akan sentiasa memelihara HARTANYA YANG BERHARGA
Hanya kekasihnya yang benar-benar layak sahaja dapat memilikinya
Supaya harta-Nya sentiasa akan bersinar dan bermutu tinggi
Wanita solehah akan sentiasa menjadi perhiasan dunia yang bernilai
Terutama bagi suaminya
Yang akan menjaga aib dirinya, hak suaminya sahaja yang dapat memiliki dan maruah keluarga serta agama
Yang akan sentiasa menjadi perhiasan bagi kebanggaan suami
Bukan mendatangkan fitnah kepada lelaki
Yakni wanita yang sentiasa membuka aib, hak suami ( aurat) di hadapan lelaki ajnabi
Ini akan menjatuhkan maruah suami
Wanita solehah,
Akan sentiasa membantu kaum Adam
Untuk menjaga iman mereka,
Supaya umat Islam dapat dilahirkan dan dikenali di dunia,
Maka dakwah secara perlakuan peribadi dapat disebarkan
Bukan yang akan meruntuhkan iman lelaki
Wahai wanita solehah
Sayangilah kaum Adam..
Kerana kaum Adam juga termasuk adik beradik lelaki kamu, ayah kamu dan kaum kerabat lelaki kamu..
Kasihanilah mereka ukhti,
Benarkan mereka merasai zat ALLAH yakni syurga
Benarkan mereka merasai nikmat hidup di Syurga dan dunia dengan aman
Jagalah aurat mu, jagalah maruah mu. Supaya tidak menyeksa kaum Adam
Sayangilah mereka sahabat
Kerana mereka juga Saudara seIslam kita
Benarkan kita dan mereka sama-sama merasai nikmat syurga ALLAH..
Sahabat bantulah mereka
Bantulah mereka, Jangan bebankan mereka dengan dosa yang kita lakukan..
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Inilah Erti Kehidupan


Sayu bertandang lagi..
Menguji kekuatan hati,
Walau berdiri dalam ramai..
Sepi itu datang,
Wahai hati, cuba bersabarlah,
Dalam santun Allah hadirkan penghibur,
Dalam senyap Allah takdirkan pelita,
Dalam sopan Allah kurniakan darjat istimewa,
Yang tidak diduga oleh hati..
Ya ALLAH, Ya Rahman, Ya Rahim..
Kasihku tetap satu pada jalan yang telah KAU tetapkan,
Aku tidak pernah berputus asa pada jalan ini..
Aku bahagia dalam kelam,
Aku cekal dalam kepayahan,
Aku tenang dalam sukar,
Kerana ini yang mengajar aku erti hidup



Biar jutaan manusia berkata,
Biarlah...
Yang pasti ku pohon redhaMU..
RahmatMU agar senantiasa mengiringi jalanku
Kerana tanpaMU aku pasti rebah..
TanpaMU aku pasti lelah
Tanpa cahayaMU aku pasti hilang arah..
Ya Malikul Mulk,
Kuatkanlah semangatku dalam lemah
Berilah kasihmu dalam tiap kesukaran
Agar ianya menjadi mudah
Melayari sebuah kehidupan yang berliku
Sesungguhnya kasih sayangMU tidak bertepi
Kirimkanlah aku kasihMU,
Agar hidup lebih sempurna dan bahagia...
Amin...
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Thursday, January 19, 2012

Ku Pohon Cintaku Dikunci Rapi



Cinta..
Dikau itu fitrahnya suci
Sesuci embunan pagi
Seputih turunan salji

Cinta..
Syukran Ya Ilahi
Sesungguhnya kurniaanMu ini ibarat pelangi
Mewarnai segenap hidupan duniawi

Cinta..
Andai manusia itu bijak pekerti
Pastinya dikau tidak sesekali dinodai
Tentunya dikau aman di lubuk sanubari

Cinta..
Kenapa dikau selalu disalaherti?
Dituduh,dihina..sering dicaci
Tatkala manusia terlajur diri

Cinta..
Usah dikau bersedih hati
Dikala manusia menunjuk benci
Bukan salahmu sekali-kali

Cinta..
Dikau sebenarnya penyeri
Buat kami khalifah di bumi
Juga buat anak cucu kami

Cinta..
Hapuslah air matamu di pipi
Imbaulah kembali indahnya memori
Disaat dikau penyatu kasih yang murni

Oooh…cinta….

Cinta ..
Hapuslah air matamu di pipi
Imbaulah kembali indahnya memori
Disaat dikau penyatu kasih yang murni

Cinta..
Adakah dikau masih ingati?
Saat Adam dan Hawa menyemai kasih syurgawi
Bukankah terbukti dikau penyatu dua hati?

Cinta..
Zaman ini banyak sekali tragedi
Menarik dikau ke lembah penuh misteri
Habislah dikau andai manusia hilang pedoman diri

Cinta..
Zaman ini dikau tidak lagi selalu disanjung tinggi
Namamu hanya menjadi zikir pemuda pemudi
Peroleh kepuasan penuhi nafsu meninggi

Cinta..
Ingin sekali aku bersimpati
Namun aku sendiri serupa insani
Mungkin dikau mangsaku sejurus ini


Cinta..
Percayalah,andai aku miliki iman di hati
Dikau tidak sesekali akan aku sakiti
Kerna dikau hanya halal buat insan bernama isteri

Cinta..
Aku ini seorang lelaki
Miliki gelojak nafsu juga naluri
Semoga dikau tidak membawaku ke jalan mati

Cinta..
Aku ingin miliki seorang suri
Kalau bisa,seanggun bidadari
Namun semuanya dalam lukisan rezeki..

Cinta..
Andai suatu hari aku akan dicintai
Andai suatu masa aku akan mencintai
Sudilah engkau terbit menemani jiwa kami

Cinta..
Buat masa ini
Aku ingin sekali kau dikunci rapi
Kerna kini aku  ingin menimba ilmu Ilahi

Cinta..
Sabarlah dikau buat sementara ini
Tatkala sudah tiba masanya nanti
Datanglah kembali menghiasi bahtera kasih abadi...



Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Tips Sekiranya Sudah Berpunya Dan Masih Belajar



Alhamdulillah, sekarang penulis sedang cuti semester. Walaupun cuti, penulis tetap sibuk dengan hal-hal yang lain tetapi ianya tidak menghalang bagi penulis untuk berkongsi dengan rakan-rakan mengenai ilmu yang sedikit ini.
Semoga dengan perkongsian ini dapat dikira sebagai amal dihadapan Allah S.W.T kelak.
Itulah yang paling penting yakni melakukan sesuatu semata-mata kerana nak beribadah kepada Allah S.W.T.

"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku"  
(surah Az-Zariyat : 56)

Manusia memang gemar apabila berbual mengenai isu-isu yang mereka suka sehinggakan berbual berjam-jam lamanya tanpa mereka sedari, janji apa yang mereka bualkan itu dapat memberikan kepuasan kepada diri mereka. Yang sibuk dengan bolanya, akan selalu bahaskan mengenai perkembangan bolanya.

Yang sukakan perkembangan fesyen terkini pula (terutamanya tertumpu kepada kaum-kaum hawa) pun sama seperti yang sibuk dengan bolanya iaitu menjadikan topik utama perbualan mereka dan macam-macam lagi. Itulah dinamakan lumrah dalam kehidupan manusia.
Apa yang penulis cuba kongsikan di sini bukannya mengenai perkembangan bola dan fesyen tetapi ada lagi satu topik atau isu yang penulis rasakan sangat-sangat penting, dari dulu hingga sekarang, tiada penghabisannya sehinggalah kiamat. Kerana apa penulis katakan penting?
Mesti ada sebabnya, bukan?

Sebab utama bagi penulis ialah ianya melibatkan "hati". Hidup mati seseorang itu berdasarkan hatinya. 
Sesuailah dengan apa yang idola kita sabdakan yakni nabi Muhammad S.A.W:

" Ketahuilah sesungguhnya di dalam tubuh ada segumbal daging. Apabila ia baik jadi baiklah seluruh badannya, dan sekiranya buruk, buruklah semuanya. Ketahuilah ia adalah hati."

Topik yang penulis maksudkan disini adalah "cinta". Bila bercakap saja tentang cinta, penulis dapat bayangkan bahawa mesti lebih daripada 70% apa yang terfikir diminda pembaca adalah "hubungan cinta lelaki dan perempuan yang halal dikahwini, bukan?" atau lebih sinonim dengan "couple".
Memang tidak dapat dinafikan lagi, berbahas mengenai isu ini memang menarik. Teringat penulis ketika masih bergelar pelajar diploma, dalam satu usrah mingguan di mana rata-rata rakan-rakan penulis ketika itu rasa mengantuk sangat dengar pengisian yang disampaikan oleh naqib kami tetapi apabila berbincang mengenai isu walimah atau perkahwinan semua rakan-rakan penulis seumpama baru bangun dari tidur yang panjang. Semua fokus dan tersenyum panjang lebar saja. Masya-Allah hebatkan kuasa tentang cinta ini.

Berbicara tentang cinta ini skopnya sangat luas. Banyak perkara yang boleh diperbincangkan dan dipersoalkan. Penulis akan kecilkan skop perkongsian penulis dengan pembaca. Penulis merupakan seorang pelajar ijazah sarjana muda, baru menamatkan satu semester pengajian disebuah universiti tempatan. Apabila pelajar baru. Maka, ramailah kenalan-kenalan yang masih belum kita kenal. Apabila tidak kenal. Maka, kita ada keinginan mahu berkenalan, bukan?
Yang lelaki mahu kenal dengan perempuannya, yang perempuan pula mahu juga kenal dengan lelakinya. Apabila ternampak mawar atau kumbang itu lebih cantik atau tampan dari yang lain maka mulalah muji-memujinya. Itu adalah lumrah yang biasa dalam kehidupan seharian manusia kerana manusia ini sangat sukakan perkara-perkara yang sejuk mata memandang.
Berbalik kepada tadi, pelajar yang lebih nakal dan ekstrem, mereka akan mula melangkah setapak kehadapan iaitu berkenal-kenalan dengan lebih dekat saban hari sehingga terjadilah budaya "couple" di kampus. Dari tanya hal pelajaran sehinggalah ke hal peribadi.

"Hari ni awak dah study subjek apanya ya? Tup..tup..tup... " Kenapa sejak-sejak ini, saya selalu ingatkan awak?" dan sebagainya.

Perkara seperti ini, bukan terjadi pada seorang malah lebih dari itu. Seolah-oleh cinta sebelum kahwin ini dihalalkan pula di dalam agama kita yakni Islam. Dan macam-macam kerenah lain yang penulis rasa tidak perlu dihuraikan di sini. Jika pembaca seorang pelajar ataupun pekerja perkara seperti ini tetap akan berlaku dipersekitaran anda.
Jadi kita boleh melihatnya dengan sendiri. Sepanjang semester yang lalu, itulah yang penulis selalu perhatikan. Semoga Allah S.W.T melindungi kita semua terutamanya penulis dari terjebak dengan cinta sebelum kahwin ini, Insya-Allah.

Sekarang barulah penulis masukkan topik atau tajuk sebenar dan utama penulis iaitu  fokus kepada pembaca yang sudah pun berpunya dan masih belajar atau bekerja. Di sini, penulis akan sertakan beberapa tips yang penulis rasakan berguna kepada kita terutamanya kepada yang sudah berpunya.
Tip-tip ini penulis perolehi hasil dari pembacaan penulis dari sebuah buku yang suatu ketika dahulu penulis sangat-sangat tercari-carinya iaitu "Bahagianya Menjadi Pengantin Sepanjang Masa". Sebuah buku karangan Mardiana Mat Ishak keluaran PTS. Untuk makluman pembaca, penulis gemar buku-buku keluaran PTS.

Tip-tip yang penulis maksudkan adalah :

1. Sekiranya boleh disegarakan perkhawinan itu, segerakanlah.

Ini merupakan kaedah yang paling dikehendaki oleh syarak dan syariat dan sangat berkesan iaitu berkahwin. Dengan perkhawinan ianya dapat menghalalkan 1001 tiket, semuanya boleh. Minta keizinan dan restu daripada ibu bapa dan nyatakan hasrat murni ini dengan sehikmah yang mungkin.
Sediakan rancangan atau pelan anda dan juga pasangan dalam urusan berkahwin ketika belajar. Tetapi perlu diingatkan, sebelum kita menyuarakan hasrat kita hendak berkahwin perlulah kita muhasabah diri terlebih dahulu atau membuat checklist terhadap diri kita dan juga pasangan kita supaya ibu bapa kita ada rasa keyakinan terhadap keputusan yang kita ambil ini. Pertama-tama sekali adalah tanya pada diri sendiri:

i.      Adakah saya sentiasa memastikan solat fardu lima waktu saya cukup?
ii.     Adakah Saya menjadikan solat duha sebagai satu kezaliman?
iii.    Adakah saya membaca al-quran sekerap yang mungkin?
iv.    Adakah saya selalu menghadirkan diri ke kuliah-kuliah agama?
v.     Adakah saya mengamalkan zikir pagi dan petang (al-ma'thurat) seperti Rasullullah?
vi.    Adakah saya sering memperbanyakkan selawat ke atas nabi?
vii.   Adakah saya membaca bahan bacaan yang memberikan kefahaman dalam agama?

Senarai semak hubungan dengan Allah S.W.T ini baru sahaja sebahagian dan masih terdapat banyak lagi pertanyaan yang lain tetapi penulis tidak mahu fokus kepada itu. Sekiranya jawapan negatif yang lebih banyak berbanding jawapan positif, perbaikilah hubungan kita dengan Allah S.W.T terlebih dahulu. Usah menyalahkan Allah S.W.T sekiranya kita bermasalah dalam hubungan kita dengan pasangan kerana sebenarnya kita bermasalah dengan Allah S.W.T.
Penulis akui memang berat bagi sesetengah individu untuk menyuarakan hasrat untuk berkahwin ketika belajar tambah-tambah lagi pelajar berkenaan masih cetek dari segi ilmu-ilmu spiritual, intelektual dan material dan masih terlalu ramai ibu bapa yang tidak berkeyakinan untuk membenarkan anak-anak mereka berkahwin seusia muda kerana bimbang pelajaran, kewangan dan sebagainya akan terjejas.

Dengan fikiran yang sebegitu, ibu bapa lebih rela melihat anak-anak mereka di bawa kehulu dan kehilir tanpa ada apa-apa ikatan yang sah. Maka, budaya couple semakin  berluas-luasa, bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan. Kita kena ingat, wanita yang masih belum berkahwin, setiap tindak-tanduknya ibu bapalah yang akan mendapat dosanya. Tidakkah kita kesiankan ibu bapa kita. Kerana kita mereka terhalang dari masuk syurga Allah S.W.T. Fikirkanlah.

2. Sekiranya mahukan ikatan yang sah, pilih nikah Khitbah.

Altenatif kedua yang kita boleh ambil adalah melalui nikah khitbah. Nikah khitbah ini adalah menarik bagi penulis. Kahwin jenis ini adalah pasangan tersebut bernikah tetapi dibolehkan tinggal secara berasingan (sepanjang tempoh pengajian). Istilah dalam bahasa melayu dikenali sebagai 'nikah gantung'.
Yang manisnya atau kelebihan kahwin macam ini banyak manfaatnya terutama mendapat redai Allah S.W.T. Pasangan boleh belajar bersama-sama, keluar bersama-sama tanpa ada rasa segan silu dan bersalah kepada Allah S.W.T, ibu bapa dan rakan-rakan.

Bebas untuk berpegangan tangan dan sebagainya malah setiap apa yang dilakukan mendapat pahala di sisi Allah dan malaikat sentiasa mendoakan kesejahteraan pasangan tersebut. Menarik lagi, dapat jalani kehidupan yang sah dan diberkati dalam "couple" dan sentiasa komited bagi berjaya dalam pelajaran.
Nikah khitbah ini ada terjadi kepada salah sorang rakan penulis. Memang penulis akui sangat cemburui akan mereka. Kenapa tidaknya, mereka bebas untuk berjalan bersama-sama, bermesra dan sebagainya. Masa tempoh belajar memang mereka tinggal berasingan. Yang menarik bagi penulis, tamat saja tempoh pengajian diploma lebih kurang tiga bulan, penulis dapat berita zaujah (isteri) dia sudah mengandung anak sulung mereka. Alhamdulllah. Mungkin sekarang sedang menunggu kehadiran insan baru dalam hidup rumah tangga mereka. Maniskan, insyaAllah.

3. Sekiranya tidak diizinkan berkahwin juga, jaga batas pergaulan.

 Perkara inilah yang paling berat untuk dijaga. Ramai remaja-remaja sebaya penulis diluar sana yang sudah berpunya tetapi tidak dapat untuk menjaga pergaulan, pembaca sendiri dapat melihatnya. Apa pun, penulis tetap berharap dan berdoa agar rakan-rakan yang sudah berpunya itu dapat elakkan berjumpa dengan pasangan secara berdua-duaan dan dapat kurangkan berhubung sekiranya tiada urusan yang penting.
Letakkan keyakinan kepada Allah S.W.T dan berdoa kepada-Nya. Ingat, setiap tindakan kita dan pasangan kita dapat memberi kesan kepada masa sekarang dan memberi kesan kepada perkhawinan kita kelak. Ingat, matlamat membina rumah tangga muslim yang sejati dan diredai juga bergantung kepada diri kita sendiri.
Teringat penulis semasa semester akhir diploma, ada sorang kawan baik penulis sudi kongsi ceritanya. Ceritanya itu berlaku kepada kawannya. sangat sedih dan tambah-tambah lagi berlaku kepada seakidah dan seagama dengan penulis.
Mereka berkahwin atas dasar cinta dan juga kerana mereka terlanjur sehinggakan wanita tersebut mengandung. Berkahwin tidak sampai sebulan kemudian wanita tersebut diceraikan talak tiga. Wanita tersebut diceraikan talak tiga. Nauzubillahiminzalik, mintalah kita dijauhkan dengan perkara sedemikian.
Apa yang pembaca rasa apabila wanita tersebut adalah diri pembaca. Tidak mungkin pembaca tidak rasa apa-apa. Tidak mungkin. Penulis dapat rasakan bercinta sebelum kahwin lebih banyak keburukkan berbanding kebaikan. Tambah-tambah cinta atas dasar seks. Penulis tidak mahu bahaskan isu kebaikkan dan keburukkan bercinta sebelum kahwin di sini, insya-Allah mungkin di sesi yang lain.
Penulis berharap dengan sedikit perkongsian yang tidak seberapa ini dapat membuka minda dan fikiran kita. Insya-Allah. Penulis sarankan yang sudah bercinta itu ikutlah sedikit sebanyak panduan yang telah diberikan ini. Pilihlah antara satu dari tiga kaedah yang disarankan, kalau ada yang lebih baik lagi bagus.

Pembaca yang sedang bercinta perlu ingat, setiap tindakan akan memberi kesan kepada pembaca dan pasangan pada masa sekarang dan juga akan datang. Ingatlah, jangan disebabkan cinta manusia yang tidak halal memudahkan kita menuju ke neraka Allah S.W.T. Nauzubillahiminzalik.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
IMAM MUDA QARYAH
IIkhlas
MMesra
AAmanah
MMenawan
MManis
UUntung
DDinamik
AAlim
QQualiti
AAbadi
RRamah
YYakin
AAsli
HHarum
Cari MAKNA Nama ANDA?