Tuesday, December 27, 2011

Cinta Itu Nikmat Tetapi Awas

Cinta itu suci. Namun kita sebagai remaja yang baru setahun jagung terjebak ke kancah percintaan yang memberi nikmat seketika tetapi ibarat duri dalam daging yang akhirnya memakan diri sendiri.
Ya, memang benar cinta itu buta, tetapi hakikatnya kita yang buta dan tuli mengenal apa itu erti cinta. Natijahnya kini, cinta yang dicanang sebagai sesuatu yang suci dinodai dengan titik-titk hitam kemungkaran dan kerendahan maruah segelintir kita yang bersifat bodoh sombong mendefinisikan cinta sebagai sebuah ikatan yang menghalalkan yang haram.
Siapa yang harus dipersalahkan?
Tepuk dada tanya Iman.
Sudah terang lagi bersuluh, lebih separuh daripada kita pernah terjerat dengan kenikmatan cinta itu sendiri. Tidak kiralah yang terpaksa, yang rela atau suka-suka.
Tanya diri kita sendiri, adakah kita menghormati cinta suci itu atau perasaan cinta yang menjalar dalam segenap inci tubuh badan kita ini menjadikan lesen untuk kita merendahkan maruah kita sebagai umat Islam yang berpegang kepada agama yang suci.
Remaja kini sudah tidak segan silu lagi melakukan perkara sumbang di hadapan khalayak ramai, dipaparkan dan dijadikan sorotan setiap hari.
Ternyata maruah kita seperti diperkotak-katikkan dengan kerakusan nafsu yang menjadi tuan dan raja sehingga kita diibaratkan seperti mengikut kehendak sendiri.
Keghairahan kita mengejar nikmat cinta sebenarnya menongkah arus tujuan kita diberi nikmat untuk menjadi dewasa. Matangnya kita bukan bererti kita matang untuk mengawal nafsu yang semakin beraja memerintah akal fikiran yang waras.
Buktinya, ramai antara kita yang semaki terdedah dengan gejala-gejala sosial. Maruah hilang entah ke mana, malu sudah tidak bertandang, takut kepada-Nya jauh sekali. Yang perempuan menggoda, yang lelaki tergoda.
Lemah sungguh kita sebagai manusia yang menjadi ciptaan Allah S.W.T yang paling mulia. Lebih parah pula apabila lelaki bersikap habis madu sepah dibuang. Yang perempuan pula bersikap pendek akal dengan cubaan membunuh diri. Padahal sikap mereka yang sebenarnya yang mendorong mereka menghancurkan hidup mereka sendiri.
Hakikatnya kini, bercinta itu sudah menjadi satu "trend" dalam kehidupan kita. Kita lebih cenderung mengelaskan mereka yang kononnya yang tidak bercinta atau 'couple' itu kolot, ketinggalan zaman atau mungkin juga tidak laku. Hal ini menyebabkan kita berasa malu dan mula ketagih untuk bercinta.
Realitinya, mereka yang berjaya mempertahankan perasaan mereka daripada dinodai 'cinta monyet' merupakan mereka yang teguh pendirian dan berhati mulia kerana tidak bertindak untuk dinodai cinta suci itu.
Apakah kita tidak malu berpeleseran dengan pasangan kita?
Ditayang-tayang, ditunjuk-tunjuk ibarat 'show case' lagaknya. Kononnya mereka sahaja yang mempunyai pasangan. Padahal, tindakan kita ini ibarat meletakkan muka dipunggung sendiri. Maruah pula jatuh tergolek-golek.
Siapa yang suka apabila 24 jam asyik muka kita sahaja yang berkepit seperti suami isteri ke sana ke sini tanpa segan silu?
Hakikatnya, perasaan malu, mual, menyampah seperti menunjah-nunjah melihat perlakuan mereka yang sudah dibutakan dan ditulikan oleh nikmat cinta. Ibu bapa pula seperti sudah tidak mampu melarang keghairahan anak mereka daripada terus hanyut dalam dunia mereka sendiri.
Yang peliknya, ibu bapa buat-buat pejam mata sahaja apabila anak-anak mereka pergi dan balik menaiki satu kenderaan yang sama dengan lelaki-lelaki yang entah siapa-siapa.
Perbuatan kita ini bukan sahaja menodai cinta itu sendiri tetapi juga menconteng arang ke muka kedua-dua ibu bapa kita. Usah mencipta kenikmatan seketika, kelak bias meruntuhkan maruah sendiri.
Allah S.W.T telah menentukan jodoh kita sejak lahir lagi. Tidak perlulah kita berfikiran kolot dengan mengejar 'cinta monyet' yang bakal mengundang seribu satu masalah dan kedukaan yang tiada akhirnya. Tiada manusia yang mati andai cinta itu tidak hadir dalam hati.
Jika kita memang benar-benar ingin merasai nikmat cinta palsu itu, letakkanlah nafsu dan Iman kita di atas neraca timbang. Pastinya nafsu lebih berat daripada Iman kita.
Mahukah kita menggadaikan maruah kita yang tidak ternilai harganya ini hanya untuk menikmati perasaan ghairah bercinta yang bertindak hanya seketika?
Yang menanggungnya pastilah perempuan. Seronok dan nikmat sama dirasai, kenapa derita dipikul sendiri?
Lelaki juga harus bertanggungjawab kerana 'bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi'. Sebenarnya dua-dua bersalah, kenapa yang harus menanggung malu perempuan seorang. Jadilah anak jantan sejati 'berani buat, berani tanggung' bukannya mahu buat selepas itu lari tidak cukup tanah. Buat apa jadi lelaki kalau hanya sekadar lempar batu sembunyi tangan, lebih baik jadi lelaki lembut tetapi bertanggungjawab. Ini semua gara-gara cinta.
Cinta itu menghayalkan. Cinta itu membuat kita alpa tentang segalanya. Lupa dunia, lupa Akhirat. Begitulah cinta itu. Kadang-kadang cinta itu sesuatu yang nikmat tetapi awas. Disebabkan cinta, kita sebagai manusia hilang maruah diri dan pengangan agama entah ke mana. Yang menanggungnya kita. Bukan oang lain.
Tidak salah bercinta andai kita mampu mengawal nafsu serakah daripada menjadi tuan dan juga tidak berkelakuan jelek di hadapan orang ramai. Bagi mereka yang belum merasa nikmat cinta itu, berbanggalah kerana anda mempunyai harga diri yang tinggi. Jaga diri jangan terlalu dibuai perasaan hingga tergadai maruah.


Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

Menghayati Susah Sesudah Senang




Sebahagian besar daripada kita asalnya datang daripada keluarga yang serba kekurangan. Sewaktu kecil, kita pernah merasa punyai hanya sepasang baju sekolah yang senteng kerana ayah tidak mampu membeli pakaian baru. Ataupun, kita menyarung baju yang gedoboh kerana ia asalnya pakaian sekolah abang yang diberi kepada kita.
Untuk berjimat, kita membawa bekal ke sekolah berupa lempeng atau cekodok sekadar mengalas perut. Walaupun diberi duit belanja, ianya cukup-cukup untuk membeli mi sepinggan dan segelas air sirap. Itu pun sudah cukup baik kerana ramai lagi kawan-kawan di waktu itu tidak membawa se sen pun ke sekolah. Mereka berlapar. Kalau haus, mereka menonggeng minum air paip sehingga kenyang. Tiada paip water cooler di sekolah pada zaman itu.
Di rumah, kita makan apa yang emak hidangkan. Kadang-kadang, makan malam kita adalah lauk tengahari. Ada juga masanya, makan malam kita adalah lauk dua tiga hari yang lepas, yang diperhangat sampai kering. Seisi keluarga akan makan hidangan yang sama. Bukan macam sekarang. Adakalanya, hanya si suami yang akan makan masakan isterinya, sedangkan anak-anak makan apa jua menu selain daripada masakan ibu.
Siapa yang tidak pernah merasai kemiskinan? Sama ada ketika di kampus ataupun di hari-hari terakhir bulan ketika hidup membujang, sebahagian daripada kita tentu sekali pernah mengalami situasi tidak berduit hendak makan. Keadaan itu cukup menyakit dan memalukan. Malu pada orang dan malu pada diri sendiri.
Sebab itu, kita berazam untuk mengubah cara hidup dengan belajar rajin-rajin hingga mendapat kerja baik, atau menjadi usahawan hingga hidup kita menjadi selesa, kaya dan akhirnya dihujani kemewahan yang melimpah ruah. Alhamdulilah. Kita yang asalnya susah dan 'makan untuk hidup' kini bertukar senang dan kini 'hidup untuk makan.' Betapa lama kelamaan, kesenangan yang berpanjangan itu menjadikan kita terlupa apa erti kemiskinan.
Kita yang mewah biasa melancong ke pelbagai tempat eksklusif atau bersantai bersama keluarga di kompleks membeli-belah. Di sana, kita lihat wajah-wajah yang riang gembira seperti kita. Kemewahan ada di mana-mana. Orang masih berbelanja walaupun ramai yang kata harga barang-barang sudah mahal.
Tetapi, kita tak akan terserempak dengan golongan yang sudah tidak mampu mengunjungi ke tempat-tempat rekreasi seperti kita. Mereka tiada di tempat-tempat ini. Mereka juga tidak kelihatan di gerai-gerai tepi jalan, di pasar-pasar tani, bahkan di pasar-pasar malam. Mereka hanya berada di tempat kerja. Selepas kerja, mereka akan berkurung di rumah. Pendek kata, mereka sudah berundur dari pentas dunia kerana lelah mengejar kesenangan. Mereka kalah dan terperosok di dalam dunia kemiskinan dan menyisih diri. Sebab itu kita sudah tidak temui mereka.
Apakah kebimbangan mereka yang miskin ini? Mereka bimbang bagaimana hendak memberi makan kepada isteri dan anak-anak, membayar sewa rumah, melangsaikan pelbagai jenis bil dan hutang piutang yang semakin bertambah. Hidup mereka kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Masa depan mereka hanyalah setakat esok hari. Mereka tidak berani berpandangan jauh kerana yang dekat pun sudah tidak terlarat hendak difikirkan, apatah lagi diimpikan.
Barangkali, dalam keadaan risau dan hampir putus harap akibat kemiskinan, maka terdetik di hati mereka mengapakah Allah menjadikan mereka sesusah dan semalang ini? Mengapa mereka tidak bernasib baik seperti orang lain yang cukup makan pakainya? Oleh kerana melihat masa depan yang kelam dan suram, mereka tergamak mempersoal Allah yang menjadikan mereka malang sebegitu. 

"Hampir-hampir kemiskinan itu membawa kepada kekufuran."

Meskipun hadis ini lemah, kemiskinan harta boleh membuatkan seseorang itu bimbang, risau dan putus asa. Kemiskinan harta boleh menjadikan seseorang itu juga miskin jiwanya hingga bertanya keadilan Allah yang mengatur segalanya.

Alangkah baik, dalam kemewahan kita pada hari ini, kita tidak lupa kepada mereka yang malang ini. Kita mesti menolong mereka. Apabila kita menghulurkan bantuan kepada mereka, tentulah mereka akan memanjatkan syukur kepada Allah. Mereka akan memuji-Nya kerana rintihan mereka didengari oleh Yang Maha Mendengar.
Jika sebelum ini, mereka mempersoalkan Allah kerana kemiskinan mereka, tidakkah bantuan yang kita sampaikan kepada mereka itu menjadikan mereka berterima kasih dan mengagungkan Allah kembali? Dalam erti kata yang lain, tidakkah bantuan kita menarik mereka dari jurang kekufuran untuk kembali meyakini-Nya?
Mari hayati zaman sukar kita dengan menyenangkan orang lain. Mari gembirakan hati kita dengan membahagiakan orang lain. 



Barangsiapa ingin doanya terkabul dan dibebaskan dari kesulitannya hendaklah dia menyelesaikan 
kesulitan orang lain."
(Hadis riwayat: Imam Ahmad)

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
IMAM MUDA QARYAH
IIkhlas
MMesra
AAmanah
MMenawan
MManis
UUntung
DDinamik
AAlim
QQualiti
AAbadi
RRamah
YYakin
AAsli
HHarum
Cari MAKNA Nama ANDA?