Wednesday, May 25, 2011

Kuasa hati kita


 
Hati manusia mengawal pergerakan jasadnya. Jika hati seseorang bersih, jasadnya juga turut melakukan kebaikan, sebaliknya hati yang kotor akan membawanya membuat perkara-perkara yang ditegah agama. Keadaan hati, sama ada bersih atau kotor mempunyai pertalian rapat dengan keimanan dan ketakwaan individu.
Dari Nu'man bin Basyir diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari Rasulullah s.a.w mengingatkan mengenai kepentingan menjaga hati, yang bermaksud : "Ingatlah sesungguhnya di dalam jasad manusia itu ada seketul darah, jika ia baik, maka baiklah jasad. Jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Itulah dia hati."
Hadis ini memberi gambaran bahawa hati manusia yang rosak boleh diibaratkan sebuah komputer yang mempunyai virus. Ia mengganggu sistem komputer dan mencacatkan penggunaannya. Begitulah hati, jika ia dijangkiti, seluruh badan akan rosak.
Di dalam Al-Quran ada ayat yang menyentuh mengenai hati dengan pelbagai istilah. Melalui ayat-ayat itu juga diterangkan, hati dapat dijaga dan diubati hanya dengan bertakwa atau beriman kepada Allah s.w.t.
Tanda-tanda takwa atau takut kepada Allah itu dapat dilihat dalam tujuh perkara. Pertama, seseorang itu menjaga lisan atau lidahnya jauh daripada Ghibah seperti membuat fitnah, mengumpat, mengadu domba dan sebagainya.
Kedua, dia menjaga hati agar bersih daripada sifat hasad yang memakan kebaikan sebagaimana api memakan kayu.
Selain itu, pandangan juga dipelihara daripada melihat perkara-perkara haram yang boleh menggelapkan hati. Sebab itu berpalinglah daripada melihat perkara-perkara terlarang untuk mendidik hati. Bagaimanapun diharuskan kita memandang dengan penuh keinsafan atau untuk mengambil iktibar.
Keempat, menjaga perut agar tidak diisi dengan yang haram, kerana malaikat akan melaknat selagi barang yang haram berada di dalam tubuh kita.
Kelima, menjaga kedua-dua tangan supaya tidak digunakan untuk melakukan pekerjaan-pekerjaan haram.
Begitu juga kedua-dua kaki dipelihara supaya sentiasa melangkah untuk taat kepada Allah s.w.t.. Seeloknya bila melangkah keluar disertai dengan doa-doa untuk memelihara diri daripada melakukan perkara-perkara mungkar.
Yang terakhir, ketaatan dapat dilihat apabila seseorang melakukan sesuatu semata-mata untuk mencari keredaan Allah s.w.t serta takut kepada sifat-sifat riak dan munafik.
Hati dan hubungan kita dengan ketaatan terhadap Allah s.w.t. amat rapat. Sebab itu kita hendakah sentiasa berdoa meminta-Nya memelihara hati kita agar sentiasa taat kepada-Nya. Hati amat penting kerana apabila rosak, ia menggambarkan pegangan agama kita juga turut rosak.
Jika seseorang bersungguh-sungguh melaksanakan saranan memelihara anggota-anggota di atas, dia termasuk di dalam golongan orang muttaqin yang dijanjikan Allah s.w.t. dengan syurga.
Hati yang bersih dan luhur memberi gambaran seseorang dapat menepis godaan syaitan. Di dalam diri manusia kita menghadapi dua bisikan iaitu bisikan syaitan dan bisikan malaikat. Bisikan syaitan menggoda manusia. Jika syaitan berjaya menguasai hati, ia akan menguasai seluruh jiwa dan manusia menjadi tidak takut kepada Allah s.w.t. Seterusnya lahirlah manusia yang kejam, tidak berperikemanusiaan, pembohong, pembuat fitnah dan sebagainya.
Sebaliknya jika jiwa dikuasai dengan unsur-unsur kemalaikatan, dengan sendirinya syaitan terhindar dan jadilah kita orang yang bertakwa kepada Allah s.w.t , warak, sentiasa mengingati-Nya dan bersyukur.
Di dalam Surah Al-A'raaf ayat 200-201 Allah berfirman yang tafsirnya : "Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah), maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar)."
Allah s.w.t mengangkat Nabi s.a.w sebagai seorang yang maksum atau terpelihara daripada dosa, apabila hati Baginda dibersihkan. Berbanding manusia biasa, kita hanya mampu berdoa kepada Tuhan, tetapi keimanan kepada-Nya tidak dapat dijamin kerana hati tidak dapat dibersihkan seratus peratus dan sentiasa digoda syaitan.
Tuhan memilih Nabi Muhammad s.a.w untuk membawa urusan-Nya. Maka semestinya utusan Allah s.w.t mempunyai sifat-sifat istimewa, antaranya hati yang bersih. Dengan hatinya yang bersih itu, orang-orang kafir dan Quraisy tertawan. Kesabaran, keikhlasan dan kemuliaan akhlaknya berpunca daripada hati Baginda yang bersih. Malah orang-orang kafir sendiri mengakui kemuliaan hati Baginda.
Umar Al-Khattab yang dikenali seorang yang keras hati dapat dilembutkan hatinya, bukan dengan kekerasan, tetapi apabila mendengar bacaan Al-Quran, hatinya tertawan dan akhirnya mengubah pegangan serta corak hidupnya.
Berzikir dan mengingati kembali hakikat kejadian manusia adalah antara cara mengubat hati supaya beriman kepada-Nya. Dengan berzikir contohnya, hati-hati yang keras sekalipun dapat dilembutkan. Tidak perlulah membaca ayat-ayat Al-Quran yang panjang. Cukuplah sekadar mengingati Allah s.w.t kerana Dia telah berjanji akan mengingati-Nya.
Dalam perjalanan hidup kita ini juga, cubalah beramal dengan kerja-kerja yang mendatangkan pahala. Contohnya pertingkatkan amalan-amalan sunat yang diberi ganjaran pahala yang banyak. Cemburulah kepada mereka yang berjaya membuat banyak ibadah agar kita juga turut bersaing menghapuskan bintik-bintik hitam di dalam hati dan seterusnya melakukan ibadah sebanyak mungkin.
Untuk mendidik hati dan menaikkan taraf kepada golongan muttaqin pula, kita hendakah menyerahkan diri kepada Allah s.w.t. Mulakan dengan bertaubat secara bersungguh-sungguh, malah lebih elok sehingga dapat menitiskan air mata.
Taubat sebenar datang daripada hati dan memberi kesan mendalam sehingga dapat merasa diri hampir dengan Tuhan, seterusnya mengubah sikap. Hati yang insaf dan kuat akan menimbulkan rasa takut serta dapat menahan kesabaran dan hawa nafsu.
Jika keimanan dapat ditingkatkan melalui hati, alhamdulillah, kita akan menjadi seorang yang bertakwa.
Sumber Text:
وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ ٱلشَّيۡطَـٰنِ نَزۡغٌ۬ فَٱسۡتَعِذۡ بِٱللَّهِ‌ۚ إِنَّهُ ۥ سَمِيعٌ عَلِيمٌ 200 إِنَّ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوۡاْ إِذَا مَسَّہُمۡ طَـٰٓٮِٕفٌ۬ مِّنَ ٱلشَّيۡطَـٰنِ تَذَڪَّرُواْ فَإِذَا هُم مُّبۡصِرُونَ 201 
Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (200) Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar)
(Surah Al-Araf 7: Ayat Ke 200-201)

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
IMAM MUDA QARYAH
IIkhlas
MMesra
AAmanah
MMenawan
MManis
UUntung
DDinamik
AAlim
QQualiti
AAbadi
RRamah
YYakin
AAsli
HHarum
Cari MAKNA Nama ANDA?